Thursday, January 7, 2010

Vokal Terbaik milik siapa?

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my

HANYA tinggal tiga hari sahaja lagi, panggung Anugerah Juara Lagu Ke-24 (AJL24) akan membuka tirainya di Stadium Putra, Bukit Jalil tepat pukul 9 malam.

Bukan itu sahaja, AJL24 juga menjadi acara anugerah bagi permulaan tahun 2010 dan apa yang pasti, AJL24 semestinya cukup dinanti-nantikan peminat serta pecinta muzik tanah air.

Harus diakui, AJL sudah mencipta sejarahnya tersendiri dan selama 24 tahun dianjurkan, acara anugerah terbitan TV3 itu telah meninggalkan impak yang cukup besar.

Selain melonjakkan populariti serta mengangkat martabat komposer serta penulis lirik tempatan, tempias kehebatan AJL turut terpercik kepada penyanyi yang bertanding setiap tahun.

Biarpun acap kali dicanang bahawa AJL merupakan pertandingan yang mengiktiraf hasil kerja komposer dan penulis lirik tempatan, populariti penyanyi juga menyumbang kepada perjalanan keseluruhan acara anugerah itu sendiri.

Menyedari hakikat itu, TV3 telah mengambil inisiatif apabila memperkenalkan kategori Vokal Terbaik sejak tahun 2002.

Sekadar menyingkap sejarah dan menyegarkan kembali ingatan peminat, kali pertama kategori itu dimenangi oleh penyanyi bersuara lantang, Liza Hanim yang memenanginya menerusi lagu Gelisah Mimpi.

Kemudian, ia diikuti pula dengan Misha Omar yang memenanginya dua tahun berturut-turut pada 2003 dan 2004 bagi lagu Bunga-Bunga Cinta serta Pulangkan.

Seterusnya, Hazami mencipta rekod apabila menjadi penyanyi lelaki pertama menjulang anugerah itu pada tahun 2006 bagi lagu Kata manakala tahun berikutnya, ia menjadi milik Adibah Noor bagi lagu Terlalu Istimewa.

Tahun 2008 pula, sejarah telah tercipta apabila buat pertama kalinya, penyanyi lagu duet diangkat sebagai pemenang untuk kategori ini.

Paduan vokal mantap Jaclyn Victor dan Lah Ahmad menerusi lagu Ceritera Cinta telah melayakkan mereka menggondol kategori berkenaan.

Tahun lalu pula, Faizal Tahir yang mempamerkan persembahan cemerlang menerusi lagu Sampai Syurga membawa pulang trofi tersebut.

Persoalannya kini, siapakah yang bakal dinobatkan dengan gelaran Vokal Terbaik AJL24 apabila calon-calon yang bertanding juga bukan calang-calang.

Adakah Faizal berjaya mempertahankan kejuaraan untuk tahun kedua berturut-turut seandainya dia yang akan membuat persembahan pada malam itu nanti?

Mempertaruhkan lagu Bencinta, lagu ini memerlukan kekuatan tenaga serta lontaran vokal yang cukup lantang bagi menterjemahkan maksud lagu ini.

Apatah lagi, lagu Bencinta bukanlah lagu yang mudah untuk dibawakan dan bukan calang-calang penyanyi mampu menyanyikan lagu ciptaan sepenuhnya oleh Faizal dan Audi Mok ini.

Jika Faizal yang akan membuat persembahan pada malam itu nanti, pastinya ia merupakan cabaran besar untuknya memandangkan dia baru sahaja pulih dari masalah kesihatan dalaman yang dihidapinya.

Bijak menilai

Atau mungkinkah Misha akan kembali merampas trofi berkenaan untuk kali ketiga menerusi lagu Cinta Adam dan Hawa?

Kebarangkalian Misha untuk membawa pulang anugerah ini juga besar memandangkan Misha bijak mengawal vokal dan memberikan penghayatan sepenuh jiwa untuk lagu ini.

Lebih-lebih lagi, lagu ciptaan Azmeer dan lirik nukilan Allahyarham Loloq ini juga bukanlah sebuah lagu yang mudah untuk dibawakan.

Jika diukur pada persembahan Misha sewaktu separuh akhir tempoh hari, rasanya tiada masalah untuknya membawakan lagu ini dengan baik di malam akhir nanti.

Namun, jangan diperkecilkan bakat baru yang turut bertanding kali ini seperti Stacy, Black dan Hafiz yang memiliki kualiti vokal yang tersendiri.

Stacy misalnya, meskipun beraksi lincah di atas pentas, tapi kawalan vokalnya cukup bagus dan itulah kelebihan yang ada pada Stacy.

Siapa tahu, kekalahan tahun lalu dapat ditebus oleh Stacy kali ini yang mempertaruhkan lagu Pakai Buang.

Selaku juara Mentor musim ketiga, Black memiliki kelebihan pada vokalnya yang lantang dan jelas itu.

Jarang sekali penyanyi hitam manis ini gagal memberikan persembahan yang menarik waima lagu apa sekalipun yang diberikan kepadanya.

Justeru, kalau malam itu nanti Vokal Terbaik menjadi milik Black, usahlah dipertikaikan kerana dia merupakan salah seorang bakat baru yang mampu pergi jauh.

Juara Akademi Fantasia musim ketujuh, Hafiz juga tidak kurang hebatnya apabila lagu keramatnya, Masih Jelas mara ke AJL24.

Seperti Black, jejaka berambut kerinting ini juga jarang sekali mengecewakan dalam setiap persembahannya.

Kualiti vokal Hafiz untuk lagu Masih Jelas ini berada di landasannya yang tersendiri dan tidak mustahil untuknya menjulang kategori ini pada malam akhir nanti.


Siapa tahu, mungkin juga kemenangan akan berpihak kepada Aizat yang bertanding untuk lagu Pergi dan Kau Aku.

Apa-apa pun, semua ini hanyalah sekadar ramalan dalam menghangatkan AJL24 yang saban tahun cukup dinanti-nantikan oleh semua lapisan masyarakat.

Tetapi, jika malam itu nanti seandainya kemenangan akan berpihak kepada penyanyi lain, usahlah mempertikaikan keputusan juri kerana hanya mereka yang bijak menilai siapakah yang layak untuk membawa pulang gelaran Vokal Terbaik.

No comments:

Related Posts with Thumbnails