Tuesday, September 14, 2010

Hafiz Teruja Rakam Lagu

Sumber: Metro 14 Sept 2010


BERGELAR juara Akademi Fantasia (AF) adalah tuah buat mereka. Mohd Hafiz Mohd Suip atau Hafiz, 19, juara musim ketujuh manakala Ahmad Shahir Zawawi (Shahir), 22, pula kelapan. Namun aura Shahir dilihat lebih besar berbanding Hafiz.
pix_middle
Ini gara-gara peminat fanatik yang berminat dengan perwatakan Islamik Shahir yang juga graduan Diploma Kejuruteraan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).


Sehubungan itu, tidakkah Hafiz berasa tergugat dengan kemunculan Shahir? Berpegang pada rezeki adalah ketentuan Allah swt, Hafiz berkata, dia tak pernah sedikit pun berasa tergugat dengan kehadiran Shahir kerana beranggapan semua juara AF memiliki aura tersendiri.

Bermula dengan Vince pada musim pertama, Zahid (kedua), Mawi (ketiga), Faizal (keempat), Mila (kelima) dan Stacy (keenam).
“Vince boleh dianggap pemecah tradisi kerana dia juara bukan Melayu pertama dipilih penonton AF.
Zahid pula vokalnya mantap.
Begitu juga, Mawi yang mencetuskan fenomena.
Faizal menjadi kebanggaan Terengganu.
Mila, juara wanita pertama dan Stacy semakin popular.


“Jadi, penonton memilih kami semua sebagai juara AF berdasarkan tahap bakat yang ditonjolkan.


Justeru, saya sangat yakin dengan kemampuan diri. Malah, jika benar Shahir memiliki ramai peminat, itu adalah rezekinya. Saya pula terus berusaha.


“Apapun, saya bersyukur kerana peminat masih setia memberikan sokongan. Selain menyanyi, saya juga meraih peluang berlakon teater Kita The Muzikal. Ia sangat menyeronokkan dan memberi saya banyak pengalaman yang berharga.Tambahan pula, saya masih baru sebagai artis.


Pengalaman yang dikumpul pun sedikit dan banyak lagi kekurangan perlu diperbaiki.
Bagaimanapun, saya gembira lagu single Masih Jelas dan Noktah Cinta di terima baik.
Saya akan muncul dengan single ketiga, Awan Nano pula,” katanya.


Hafiz menambah, dia teruja dapat menyanyikan lagu Awan Nano itu kerana ia hasil ciptaan komposer M Nasir dan lirik ditulis Budi Hekhayat.
Katanya, sebagai peminat M Nasir, dia tidak sangka impian untuk menyanyikan lagu idolanya itu menjadi kenyataan. Meraikan Aidilfitri bersama keluarga di Kuching, Sarawak, Hafiz berkata, M Nasir juga diminati bapanya.


Justeru, bapanya orang paling gembira apabila dimaklumkan mengenainya.
Bapa juga berpesan supaya buat yang terbaik. Saya harap lagu Awan Nano akan diterima peminat.


Ingin juga saya tegaskan, semua juara AF ada kualiti tersendiri.
Tiada yang terlalu bagus atau kurang kerana semuanya berdasarkan usaha. Jika lebih berusaha, kejayaan pasti dalam genggaman,” katanya.


Sementara itu, Shahir pula berkata, sebagai juara AF8, dia masih baru dan kini dalam proses mencari identiti diri.


Apapun, ujarnya, dia gembira kerana pembabitan dalam arena seni diterima baik peminat dan berharap mereka berpuas hati.


“Sebenarnya, letih hendak memuaskan hati peminat. Namun, itulah cabaran saya sebagai artis dan menjadi tanggungjawab menjaga keperibadian diri sebaik mungkin. Bagaimanapun, saya tidak mengawal diri untuk kelihatan terlalu baik.


“Saya bukan plastik dan ini memang semula jadi diri. Sejak kecil saya terbiasa dengan didikan ibu bapa. Saya pemalu dan sukar untuk membuang tabiat itu. Saya menceburi bidang nyanyian kerana minat. Mujur, keluarga tidak menghalang. Cuma mereka minta saya bijak menjaga diri dan tidak hanyut dengan populariti. Disebabkan tidak mahu hati ibu dan bapa risau, saya memilih untuk menetap bersama kenalan keluarga di Kuala Lumpur.


“Jika ada kelapangan, ahli keluarga saya akan datang ke ibu kota untuk berkumpul bersama.
Saya masih memerlukan bimbingan keluarga supaya segala urusan berjalan lancar,” katanya yang berpegang teguh dengan budaya Timur. Popular dengan lagu Kebahagiaan Dalam Perpisahan, Shahir juga tidak ketinggalan menonjolkan bakat lakonannya.


Seperti bintang AF terdahulu, kali ini Shahir bersama rakannya di AF8 terbabit dalam telefilem Lawaknya Fantasia Raya yang disiarkan pada hari raya ketiga.


Mengetengahkan hiburan ringan, pastinya ia menarik untuk ditonton.


Apapun, Shahir berkata, dia sentiasa bersedia menerima kritikan daripada peminat.
Ujarnya, sebagai orang baru, dia takkan mudah berpuas hati kerana banyak yang perlu dipelajari.


Menurutnya, sama ada kritikan positif atau negatif, dia tidak berkecil hati.
Padat dengan aktiviti seni, Shahir yang meraikan Aidilfitri di Perak berkata, tidak dinafikan kehidupannya banyak berubah.


Apapun, buat masa ini, Shahir mahu membahagiakan keluarga sebelum berfikir soal kahwin.

No comments:

Related Posts with Thumbnails