Sunday, September 2, 2012

CAK: Hafiz pikat peminat seberang

DIAM tak diam, anak jati Sarawak, siapa lagi kalau bukan Hafiz, dengar khabarnya sudah mendapat tempat di hati pencinta muzik Indonesia.

Selepas memenangi pertandingan nyanyian Mania, nama jejaka periang ini semakin mencanak naik. Ini terbukti apabila sebelum Ramadan lalu, Hafiz melancarkan album keduanya berjudul Hafiz di negara jiran itu.

Rata-rata penggiat muzik Indonesia memuji vokal mantap anak muda itu, malah ada media di sana melaporkan dia bakal meletup seperti diva popular, Datuk Siti Nurhaliza. Wah! ini pastinya satu khabar gembira buat Hafiz, malah jika diimbas kembali perjalanan seni ketika di Akademi Fantasia (AF) dulu, ramai beranggapan Hafiz tidak mampu pergi jauh.

Nah! Sekarang terbukti segala tanggapan itu hanya mainan mulut mereka yang dengki dengan keajaiban vokal penyanyi itu.

Selama CAK mengikuti perkembangan seni Hafiz di negara kita, dia tidak pernah berputus asa waima pelbagai gosip dan cerita kurang enak dilemparkan.

CAK turut rasa bangga kerana selepas Siti, tidak ada penyanyi Malaysia berjaya mendapat pujian sebegitu. Dulu ramai ingat selepas Siti, tiada siapa lagi mampu menandinginya.

Syukur sangat, kini kita ada seorang lagi penyanyi hebat yang membawa nama Malaysia di belantika muzik Indonesia. Selepas ini kalau CAK ‘shopping’ di Bandung, ramailah yang akan bercakap pasal ‘penyanyi rambut kerinting’ tu ya? CAK harap kejayaan dan segala pujian tidak menenggelamkan bakat dan nawaitu Hafiz. Dia boleh dijadikan contoh terbaik buat penyanyi tempatan supaya jangan berputus asa meluaskan pengaruh ke negara jiran walaupun bakat di sana tumbuh bak cendawan.

Yelah, sekian lama kita asyik mendengar bakat sana mencari rezeki di negara kita, sekarang tiba giliran kita pula.

Sama-samalah kita berdoa supaya Hafiz terus gilang gemilang di negara orang. Namun apa sekalipun, jangan lupa dari mana asalnya ya! Sekalung tahniah!

Source : www.hmetro.com.my

No comments:

Related Posts with Thumbnails