Wednesday, February 6, 2013

TEKAK BERNANAH, HAFIZ BEREHAT MENYANYI 3 MINGGU


Disebabkan tidak cukup rehat dan terlalu memaksa diri, telah memberi kesan buruk terhadap penyanyi berbakat, Hafiz Suip. Akibatnya pemuda berusia 22 tahun ini sekarang mengalami sakit tekak yang teruk.

Justeru pemenang vokal terbaik Anugerah Juara Lagu tiga kali berturut-turut ini dinasihatkan doktor supaya berehat dari menyanyi sekurang-kurangnya tiga minggu. Selain, dia terpaksa berpantang, tidak boleh minum air dan minuman bersusu kecuali air mineral.

"Dah dua minggu saya sakit tekak. Doktor kata tekak saya bernanah. Jadi buat masa ini saya tidak boleh menjalankan sebarang aktiviti nyanyian sekurang-kurangnya tiga minggu. Kalau saya berdegil keadaan jadi bertambah teruk dan kemungkinan untuk sembuh memakan masa selama enam bulan.

"Doktor kata saya terlalu memaksa suara saya, tak cukup rehat dan... merokok tapi itu punca yang terakhir sekali (gelak). Disebabkan kesakitan ini, saya sukar mencapai not yang tinggi. Selain itu saya juga kerap merasa pening. Saya akan membuat pemeriksaan lanjut dan mengikut kata doktor, mungkin saya perlu menjalani pembedahan kecil pada tekak saya," beritahu Hafiz kepada malaysiandigest.com mengenai keadaan kesihatannya.

Pelantun Ku Akui ini ditemui pada majlis penghargaan & penyerahan cek kepada pemenang Anugerah Juara Lagu 27, bertempat di Sri Pentas, Bandar Utama, petang semalam.

Hafiz menerima cek berjumlah RM22,000 menerusi kejayaan mendapat tempat ketiga (lagu Ku Akui) sekaligus mempertahankan Vokal Terbaik pada pentas final AJL27 lalu.

Disebabkan keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan, Hafiz terpaksa menangguhkan dulu albumnya. Bagaimanapun dia berharap artwork yang memuatkan sembilan lagu itu dapat direlease dalam bulan Februari ini.

Selain itu, Hafiz bakal membuat konsert di Dewan Filharmonik Petronas sekitar bulan Jun nanti.

"Saya juga sedang buat persiapan bagi mengadakan konsert di Dewan Filharmonik Petronas. InsyaAllah dalam bulan Jun. Saya berasa bertuah dan bersyukur kerana bukan mudah untuk mendapat peluang keemasan sebegini. Lebih-lebih lagi dapat pula membuat persembahan bersama orkestra," katanya.

Mengaku Bercinta

Dalam pada itu tidak terlepas ditanya mengenai 'perkembangan hatinya' pula, Hafiz berkata dek kerana acap kali diasak dengan soal percintaan, dia akhirnya mengesahkan mengenai desas desus hubungan cinta dengan seorang gadis.

"Saya tahu, sampai bila saya mampu mengelak tentang perkara (hubungan cinta) ni. Ya, saya mengaku saya bercinta. Tapi terlalu peribadi untuk saya dedahkan semuanya.

"Sebab dia (teman wanita) bukan orang dalam industri dan saya harus hormat privasi dia. Saya serius dengan dia. Saya kira fasa percintaan ini juga adalah satu proses perkembangan dalam hidup saya," katanya ringkas tanpa mahu mengulas lanjut mengenai gadis itu yang telah membuka pintu hatinya untuk kembali bercinta semula.


No comments:

Related Posts with Thumbnails