Friday, April 19, 2013

Giliran Hafiz Tunjuk Belang di DFP Jun Ini


KUALA LUMPUR, 18 APRIL 2013 : Menjejaki kejayaan penyanyi popular Yuna, Aizat, Najwa dan Noryn Aziz, kini giliran Hafiz untuk mempersonakan para peminatnya di pentas berprestij Dewan Filharmonik Petronas (DFP).

Menerusi konsert yang dikenali Spotlight Dewan Filharmonik Petronas, Hafiz akan beraksi secara ekslusif pada 3 Jun ini, jam 8.30 malam bersama iringan pemuzik klasikal hebat dari dewan muzik berprestij berkenaan.

Berusia 23 tahun, Hafiz merupakan salah seorang artis muda berbakat besar dan dikenali melalui lagu-lagu balada yang menusuk kalbu.

Bakatnya dicungkil melalui program realiti Akademi Fantasia terbitan Astro pada tahun 2009, di mana dia merupakan juara untuk musim ketujuh setelah berjaya mengumpul 46 peratus undian (tertinggi dalam program itu).

Beliau kemudian mengedarkan album perdananya berjudul Masih Jelas pada bulan Julai tahun itu yang telah terjual lebih dari 10,000 unit.

Dia telah dicalonkan dalam kategori Lagu Pop Terbaik dan Susunan Lagu Terbaik di Anugerah Industri Muzik (AIM) 2010, memenangi kategori Lagu Malaysia Terbaik dan Lagu Serantau Terbaik dalam Anugerah Planet Muzik (APM) 2011 dan Artis Lelaki Terbaik di APM 2012 dan memenangi Penyanyi Lelaki Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) pada tahun 2011 dan yang terbaru, pada April tahun ini.

Untuk konsert sulungnya di DFP itu, Hafiz akan membawa penonton menyusuri perjalanan seninya melalui lagu-lagu seperti Noktah Cinta, Masih Jelas, Ku Akui, Matahari Tak Cukup Indah, I Believe I Can Fly dan beberapa medley menarik.

Turut dialunkan kelak ialah Muara Hati dan Ombak Rindu bersama pasangan duet yang dirahsiakan sebagai tarikan pada persembahan malam tunggal berkenaan. Konsert berdurasi 70 minit itu bakal diiringi oleh barisan pemuzik-pemuzik handalan di bawah pimpinan Aubrey Suwito.

Tiket-tiket untuk persembahan ini adalah terhad kerana DFP hanya mampu memuatkan seramai 900 penonton dalam satu masa.

Tiket berharga RM80 telah habis dijual dan hanya tinggal tiket bernilai RM128 serta RM144 yang boleh didapati di kaunter tiket Box Office atau boleh ditempah dengan menghubungi 03-20517007 dan dfp_boxoffice@petronas.com.my.

Maklumat lanjut sila layari laman web DFP/MPO : http://www.dfp.com.my/ dan http://www.mpo.com.my/

Source : http://www.murai.com.my

No comments:

Related Posts with Thumbnails