Tuesday, April 29, 2014

Hafiz Buat Kejutan Bermain Piano


Mempersembahkan hanya 4 buah lagu solo untuk minggu setiausaha yang diberi nama 'A Golden Moment with Hafiz', Hafiz Suip mengakui yang dia tidak begitu puas membuat persembahan, namun segalanya telah ditetapkan oleh pihak pengurusannya.

"Sebenarnya jika mengikut kepuasan, saya tidak puas lagi kerana hanya menyampaikan empat buah lagu solo, namun segalanya telah ditentukan oleh pihak pengurusan. Namun saya begitu teruja kerana buat julung kalinya saya membuat persembahan untuk Minggu Setiausaha.

Hari ini saya baru merasai bagaimana menjadi seorang penghibur. Sebagai penghibur saya belajar yang pentingnya komunikasi bersama penonton. Selain itu, kita perlu bertindak serta berfikir dengan pantas mengikut keadaan," ujar Hafiz ketika usai persembahan di Menara MATRADE, Jalan Duta, Kuala Lumpur pada Selasa.


Hafiz telah menghiburkan penonton yang hadir menerusi lagu pembukaan iaitu 'Awan Nano'. Dia turut menyanyikan medley lagu-lagu Allahyarham Sudirman iaitu 'Pelangi Petang', 'Terasing ' dan 'Salam Terakhir'.

Bagaikan tidak boleh dipisahkan dengan Adira, persembahannya kali ini sekali lagi menyaksikan Hafiz menyampaikan lagu 'Muara Hati' dan 'Ombak Rindu' bersama teman duetnya itu.


Hafiz berjaya mendapat sorakan gemuruh apabila membuat kejutan dengan menyanyikan lagu 'All of Me' yang dipopularkan oleh John Legend. Dia memilih untuk menyanyi sambil bermain piano yang baru dipelajarinya melalui media sosial Youtube.

"Itu merupakan salah satu kejutan yang saya rancang untuk peminat yang hadir. Saya belum pernah membuat persembahan dengan bermain sebarang alat muzik dan ini merupakan kali pertama saya menyanyi sambil bermain piano. Saya tidak mahu majlis ini kelihatan terlalu formal mengikut protokol sebaliknya mahu agar ia menjadi santai. Saya harap semua gembira dan berpuas hati dengan persembahan saya pada hari ini. Terkejut juga apabila melihat sambutan cukup memberangsangkan," ujar Hafiz.



Sementara itu, pasangan duetnya Adira turut menyampaikan dua buah lagu solo iaitu, 'Ilusi' dan 'Dewi Cinta'. Afdlin Shauki bertindak sebagai pengacara majlis.


No comments:

Related Posts with Thumbnails