Monday, March 16, 2015

Adira, Hafiz Suip Kembali Berganding Untuk Pilot Cafe


Kami yakin antara Hafiz Suip dan juga Adira, masing-masing sudah melupakan kisah lama malah mereka kini telah mempunyai pasangan masing-masing. Berdiri atas dasar profesional, Adira dan Hafiz kini berganding semula demi menjayakan video muzik runut bunyi untuk filem Pilot Cafe.

Suka berterus-terang dalam apa yang disampaikan, Hafiz mengakui, pada mulanya dia turut berasa bimbang jika gandingannya bersama Adira akan membuatkan hati tunangnya terguris malah dalam masa yang sama turut mengajak tunangnya hadir sekali ke lokasi penggambaran.

"Jujurnya saya bimbang juga jika perasaan tunang saya terusik apabila dimaklumkan saya dan Adira akan kembali berpadu suara menyanyikan lagu cinta. Malah saya juga bercadang untuk dirinya menyaksikan penggambaran video supaya dia sendiri dapat melihat apa yang berlaku."

"Bagaimana pun tunang saya faham dengan kerja saya dan dia menolak untuk mengikut sama. Dia tidak mahu menerbitkan rasa tidak selesa antara saya dan Adira ketika bekerja jika dia ada bersama. Sikapnya yang memahami itu jugalah yang membuatkan saya memilih dia untuk dijadikan teman hidup," jelas Hafiz.

Sementara itu, bagi Adira, dia sememangnya sudah memahami situasi berkenaan kerana menyedari lumrah sebagai seorang artis. 

"Apabila bekerja, saya tak pernah nak rasa apa-apa. Bagi saya, kita kena bersikap profesional ketika bekerja. Apabila mendapat tahu saya perlu berduet dengan Hafiz melalui lagu ini pun, saya tidak kisah. Pada pandangan saya, itulah tanggungjawab yang perlu dipikul oleh seorang artis," jawabnya dan dalam masa turut mendoakan agar hubungan Hafiz dan pasangan berkekalan hingga akhir hayat.











No comments:

Related Posts with Thumbnails