Thursday, October 29, 2009

Kategori terbuka perlihat saingan sengit - Credit To Utusan Malaysia

Hafiz,Stacy,Akim

TIDAK dinafikan, selama 24 tahun rancangan hiburan mingguan Muzik-Muzik (MM) bersiaran, ia telah meninggalkan impak yang cukup besar di kalangan peminat muzik tempatan.

Kalau ada yang melihat MM sekadar sebuah rancangan hiburan biasa dan tiada pengisian yang boleh dibanggakan, ternyata telahan itu silap.

MM dan acara kemuncaknya, Anugerah Juara Lagu (AJL) dilihat telah mengangkat industri hiburan ke peringkat yang lebih tinggi sekali gus memartabatkan karyawan seni tanah air.

Umum sudah mengetahui misi utama penganjuran MM dan AJLadalah untuk menobatkan gelaran terbaik dan menghargai karya anak seni tempatan menerusi lagu-lagu mereka.

Bukan itu sahaja, MM dan AJL juga telah melalui revolusi muzik yang cukup ketara dan semuanya itu dapat dilihat bermula dengan lagu Sekadar Di Pinggiran nyanyian Francisca Peter sehinggalah Laguku Untukmudendangan Meet Uncle Hussain tahun lalu.

Bukan revolusi muzik sahaja yang berlaku dalam MM tetapi pengisian rancangan itu sendiri telah berdepan dengan perubahan seiring dengan pembangunan serta kemajuan industri hiburan tempatan.

Bermula dari tahun 1986 hingga 1991, konsep rancangan MM adalah berdasarkan juara bulanan yang seterusnya layak ke peringkat AJL.

konsepnya berubah

Kemudian, dari tahun 1992 sehingga 2008, konsepnya mula berubah apabila lagu-lagu yang bertanding dibahagikan kepada tiga kategori mengikut genre lagu.

Namun, pembahagian lagu mengikut kategori nampaknya tidak mampu bertahan lagi apabila mulai tahun ini, MM mempertandingkan semua lagu secara terbuka.

Semuanya berpunca daripada kemerosotan lagu-lagu berentak etnik dan tradisional yang dilihat semakin teruk serta tiada perubahan dari segi kualitinya.

Tindakan MM memperkenalkan kategori terbuka ini dilihat sebagai yang positif kerana secara tidak langsung, ia mampu memberikan saingan sihat serta sengit daripada karyawan seni tanah air.

Sekali gus ia dilihat sebagai pembakar semangat kepada komposer dan penulis lirik untuk terus menghasilkan karya yang berkualiti.

Untuk tahun ini, sebanyak 30 buah lagu layak dipertandingkan di peringkat separuh akhir yang akan membuka tirainya bermula 6 November ini selama tiga minggu berturut-turut.

Namun begitu, pihak penerbitan MM mengakui berdepan dengan masalah pemilihan lagu untuk menempatkan diri ke peringkat separuh akhir.

Biarpun mengamalkan kategori terbuka, namun MM tidak berkompromi soal kualiti lagu yang dicalonkan.

Ini dapat dilihat sepanjang MM24 disiarkan dari 4 April hingga 17 Oktober, hanya 112 buah lagu sahaja yang layak dicalonkan.

Dan, daripada 112 buah lagu itu, hanya 10 buah lagu berentak etnik sahaja yang dicalonkan manakala selebihnya adalah dari genre balada, pop rock, rock dan lain-lain.

Ini diakui oleh Pengurus Produksi Hiburan Primeworks Studio Sdn. Bhd., Fadzliniza Zakariayang menyifatkan angka itu sebagai sesuatu yang cukup menyedihkan.

"Memang jelas industri muzik kita mengalami kemerosotan lagu yang cukup serius untuk dipertandingkan dalam MM.

"Namun, itu bukan penghalang buat MM untuk terus membuka peluang kepada semua karyawan seni untuk sama-sama bertanding dalam rancangan ini.

menyuntik semangat

"Pengenalan kategori terbuka ini juga adalah untuk menyuntik semangat baru kepada semua anak seni agar mereka mampu melahirkan karya yang berkualiti dan memiliki nilai-nilai estetika yang tinggi," katanya yang ditemui selepas sidang akhbar Separuh Akhir Muzik-Muzik 24 di Sri Pentas, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Turut hadir ialah Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama TV3, Sherina Mohamed Nordin.

Menyambung bicara, Fadliniza memberitahu iklim industri muzik tempatan tidak pernah tetap dan sentiasa berubah-rubah.

Begitu juga dengan cita rasa peminat dan pendengar muzik tempatan yang sukar sekali untuk diramal.

Jika lagu-lagu pop, rock dan etnik pernah beraja di hati peminat hiburan tempatan selain menjuarai AJL, namun kini kecenderungan itu sudah mula beralih arah.

Harus diakui, muzik yang dibawa oleh kumpulan indie merupakan muzik yang menjadi perhatian masa kini.

"Kita tidak tahu apa yang akan berlaku di masa depan dan kalau anda bertanya adakah MM akan kembali kepada pembahagian lagu mengikut kategori, semuanya bergantung kepada keadaan.

"Apa yang penting adalah untuk kami meneruskan misi bagi memartabatkan lagu tempatan ke peringkat yang lebih tinggi.

"Bukan itu sahaja, sebagai penganjur kepada acara AJL, kami juga mahu melihat semua komposer tidak mengira kaum dan bangsa turut sama bertanding asalkan mereka rakyat negara ini," katanya yang memberi contoh kejayaan kumpulan Estranged dan Meet Uncle Hussain yang menjuarai AJL pada tahun 2008 dan 2009.

Dalam perkembangan lain, Fadliniza turut ditebak adakah MM akan hilang dan tidak akan ada lagi AJL memandangkan MM mingguan kini hanya ditonton 600,000 orang sahaja?

"MM tidak akan dihentikan kerana ia merupakan platform untuk memberi peluang kepada karyawan menonjolkan kreativiti mereka.

"Malah, MM juga sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan kebanyakan daripada kita . Harapan saya agar semua pihak terus mengekalkan prestij MM dan AJL sebagai pentas mempertandingkan karya-karya terbaik," ujarnya penuh optimis.

credit to Utusan Malaysia.

No comments:

Related Posts with Thumbnails