Wednesday, December 14, 2011

Anugerah Carta Borneo 2011 Pilihan Pendengar

Oleh Liza Ramli

Pada hari Sabtu, 10 Disember yang lalu bertempat di Pusat Konvensyen Borneo Kuching: ERA fm Kuching telah meraikan satu majlis gemilang untuk meraikan ulang tahun pertama mereka. Majlis ini juga turut dimeriahkan dengan kemunculan pertama Anugerah Carta Borneo ERA yang memberikan pengiktirafan khas buat bakat tempatan Borneo.

Khabarnya, anak kelahiran Kuching, Ir Radzi telah membolot banyak hadiah dan telah membawa pulang tiga hadiah utama, berserta dengan wang tunai sebanyai RM 6, 000. Ir Radzi telah membawa pulang anugerah Artis Borneo Paling Popular, Artis Harapan Borneo, Lagu Borneo Paling Popular telah dirangkul ke dalam dakapannya. Manakala sebuah anugerah Khas ERA telah memihak kepada Hafiz, pemenang Akademi Fantasia Musim Ketujuh selaku pemenang bagi Artis Pilihan Borneo ERA fm. 


Apa yang pasti, kemenangan bagi setiap kategori yang bertanding telah pun ditentukan oleh pendengar secara total. Ya, 100% ditentukan oleh undian para pendengar ERA fm. Pada hari terakhir undian dibuka, jam 12 malam, pada 27 November 2011 menerusi laman web www.era.fm/kuching, lebih dari 5,500 undian telah kami terima.  

Pada malam tersebut, lebih dari 5000 pendengar telah menggamatkan suasana di Pusat Konvensyen Borneo Kuching yang membariskan penampilan artis terkemuka tanah air seperti Hafiz, Stacy, Najwa Latiff, Mizz Nina dan Pop Shuvit. Tidak ketinggalan,  pemenang RockEra, MAYZE juga telah tampil dan berkongsi pentas yang hangat pada malam minggu tersebut. Augerah Borneo ERA ini telah diacarakan oleh Ray dan Haniff dari pasukan Riuh Pagi ERA, bersama penyampai-penyampai radio ERA fm Kuching; Osha, Hasmin dan Nazuan.

Carta Borneo ERA telah ke udara pada jam 11 pagi pada setiap hari Sabtu bermula pada bulan April 2011 yang telah mendapat sambutan yang menggalakkan di Kuching, sehingga melebihi dari 1000 undian telah dilakukan pada setiap minggu. Inilah ruang yang telah kami sediakan untuk generasi muda berbakat besar untuk terus berkarya  sekaligus mendapat peluang untuk dikenali di seantero Borneo. Dengan cara ini, apabila lagu mereka didengari ramai dan dimainkan di radio, ianya adalah salah satu langkah setapak ke hadapan untuk menyertai dan sama-sama memeriahkan Industri Muzik Malaysia.

Untuk sebarang maklumat tambahan dan informasi terkini mengenai Carta Borneo, sila lawati laman web kami di www.era.fm/kuching.



No comments:

Related Posts with Thumbnails