Wednesday, October 31, 2012

Hafiz, Stacy, Hazama Dominasi Separuh Akhir Muzik-Muzik 27



KUALA LUMPUR, 30 OKT 2012: Separuh Akhir Muzik Muzik 27 menyaksikan tiga juara Akademi Fantasia iaitu Hafiz Suip, Stacy dan Hazama mendominasi peringkat saringan pertandingan tersebut yang akan berlangsung selama tiga minggu berturut-turut di Studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral , Shah Alam mulai 11 November, 18 November dan 25 November ini.

Hafiz mempertaruhkan 3 buah lagu iaitu Watak, Ku Akui dan Ombak Rindu bersama Adira. Manakala Stacy pula berjaya tercalon menerusi dua buah lagu iaitu Kasanova dan Pelangi Senja. Sementara Hazama juga turut bersaing dengan dua buah lagu iaitu Majnun dan sebuah lagu duet, Simetri bersama penyanyi rock otai, Amy Search.

Sejumlah 30 buah lagu tersenarau dalam pencalonan Separuh Akhir Muzik Muzik 27 yang akan dikemudikan oleh pengacara Faiz dan Chad yang mana setiap minggu akan menyaksikan 11 buah lagu bersaing kecuali minggu terakhir yang akan menyaksikan persaingan 8 lagu sahaja. .
 
Pada minggu pertama dan kedua, pertandingan Separuh Akhir Muzik Muzik 27 akan berlangsung pada jam 9 malam hingga 10.30 malam, tetapi pada minggu ketiga acara ini akan bermula pada jam 10 malam.
 
Selain itu, tahun ini juga menyaksikan ramai pencalonan yang terdiri daripada bakat-bakat baru serta penyanyi yang menjadi komposer kepada lagu mereka seperti Ainan Tasneem, Diandra Arjunaidi, Amir Jahari, Asmidar, Bedroom Sanctuary, Jimmy Palikat, Mojo, Drama Band dan Hyper Act.
 
Namun, komposer yang sudah established seperti Ajai dan Edry Abdul Halim juga masih mendominasi peringkat separuh akhir Muzik Muzik 27 kali ini apabila masing-masing tercalon dengan 4 buah lagu. Lagu Ajai yang bakal bersaing adalah Biar Sampai ke Bintang nyanyian Asmidar, Terlalu Mencintaimu (Suki), Beginilah Caranya (duet Shaheizy Sam dan Yana Shamsudin) serta Pelangi Senja (Stacy).
 
Manakala Edry Abdul Hali mempertaruhkan lagu-lagu seperti Kasanova nyanyian Stacy, Pencinta Terbaik (Sofazr), Sebelah Jiwaku Pergi (Jaclyn Victor) dan Andaiku Bercinta Lagi (Mojo).
 
Hanya 12 buah lagu yang layak ke Anugerah Juara Lagu berdasarkan permarkahan oleh juri profesional. Lagu-lagu yang layak ke peringkat akhir akan diumumkan sejurus tamatnya Seprauh Akhir Muzik Muzik 27 pada minggu ketiga.
 
Muzik Muzik 27 juga turut akan diserikan dengan persembahan oleh artis jemputan setiap minggu seperti Salam ditemani dengan Altimet dan DJ Fuzz yang akan membawakan medley lagu Tanya Sama Itu Hud Hud pada minggu pertama. Manakala, Meet Uncle Hussein menampilkan Fauziah Gambus pada minggu kedua. Sementara Fida Ibrahim dan AC Mizal akan berganding dalam persembahan minggu ketiga.
 
Tiket-tiket percuma untuk menyaksikan Seprauh Akhir Muzik Muzik 27 boleh didapati di Balai Pengawal Sri Pentas Bandar Utama dan Bala Pengawal Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral mulai jam 11 pagi hingga 5 petang pada 8 November (Minggu pertama), 15 November ( minggu kedua) dan 22 November untuk minggu terakhir.
 
Separuh Akhir Muzik Muzikm 27 turut memperkenalkan jenama prabayar Celcom Axiata Berhad XPAX, sebagai penaja utama, manakala Hot FM sebagai stesen radio rasmi.
 

No comments:

Related Posts with Thumbnails