Friday, October 12, 2012

Pesona terhebat 5 bintang

Oleh Murshid Eunos
murshid@hmetro.com.my

PELUANG mendengar semua enam lagu dalam album istimewa sentuhan komposer terkenal, Ajai ini memberikan sebuah perspektif muzik dan dinamik melodi berbeza. 

Tidak sekadar pada suntikan komersial yang acap kali sinonim dengan kredibiliti komposer juga pemegang trofi Anugerah Industri Muzik Malaysia itu, malah album Mereka Yang Di Depan Kita ini membentangkan satu ruang untuk pendengar meneliti liriknya yang puitis dengan iringan vokal penyanyi tersohor yang tidak perlu diperkenalkan lagi.

Julung kalinya, syarikat rakaman Wake The Baby Records diberi kepercayaan untuk menghasilkan sebuah album dengan kerjasama pihak Muzium Negeri Pahang, sekali gus mengangkat objektif sempena penjenamaan semula bangunan klasik penuh sejarah, Muzium Sultan Abu Bakar, Malaysia, Pekan Pahang yang kini sedia untuk dipersembahkan kepada umum selepas diberi dimensi baru.

Album yang bakal berada di pasaran pada pertengahan Oktober ini dan diedarkan Warner Music Malaysia, pertama kalinya menggabungkan ratu rock ternama, Ella dengan penghibur terkenal Indonesia, Krisdayanti (KD), Azlan The Typewriter, Hafiz AF dan Ajai sendiri.

Lebih istimewa, semua lagu yang mendapat sentuhan emas Ajai ini turut dibantu penerbit eksekutif Muzium Negeri Pahang dan lirik puitis hasil nukilan Pengarah Kurator Muzium, Ahmad Farid Abdul Jalal atau panggilan seninya, Transformer Melayu.

Menurut Ajai yang mengambil masa lebih kurang setahun dalam meletakkan sepenuh fokus pada proses pembikinannya, menyifatkan Mereka Yang Di Depan Kita adalah naskhah istimewa yang mengundang rasa tenang dan damai.

“Setahun saya mencari ilham, bersandarkan inspirasi pada keindahan Muzium Negeri Pahang sendiri, persekitaran Pekan yang memberikan idea, akhirnya semua enam lagu ini berjaya juga saya siapkan. Saya menjanjikan semuanya punya kelainan tersendiri dan lebih penting lagi, saya mendapat kerjasama semua bintang terkenal negara dan Indonesia.

“Alhamdulillah semua pihak memberikan kerjasama dengan baik. Maklumlah, ini adalah sebuah projek khas.

“Bekerja dengan Transformer Melayu selaku penulis lirik untuk semua melodi yang saya garap pula cukup mudah dan kemas. Walaupun masih baru, namun bakat dan pesona penulisannya cukup saya kagumi. Keserasian antara kami memang ada dan saya percaya, pendengar sendiri dapat menjiwainya,” katanya.

Mereka Yang Di Depan Kita membariskan lagu Kita Satu dan Matahari Tak Cukup Indah (Hafiz), Mereka Yang Di Depan Kita (Ella), Segalanya Tentang Kita (KD), Permaisuri (duet Ella bersama Ajai) dan sebuah lagi lagu duet Ella dan Azlan The Typewriter berjudul Chinta Dahulu Kala.

Memetik kata KD, sekian lama menanti sebuah karya yang mampu mengubati rindu peminat kepada nyanyiannya, jelas Segalanya Tentang Kita yang dirakamkan di studio Brotherland, Jakarta pada bulan Julai lalu adalah jawapannya.

“Selepas Hati Ini Telah Dilukai, lama rasanya saya tidak bergandingan dengan komposer Malaysia kegemaran saya ini. Ajai orangnya faham dan bijak memenuhi selera saya dalam muzik dan kali ini, ia lebih istimewa kerana liriknya juga menyentuh jiwa saya sebagai seorang penyanyi. Jujurnya, lagu Segalanya Tentang Kita adalah ‘comeback’ buat saya.

“Lagu ini dan pembabitan saya dalam album ini sudah tentu saya sifatkan sebagai cenderahati istimewa buat peminat di Malaysia kerana sudah lama tidak kembali menghiburkan mereka. Pastinya, kemunculan saya di Konsert Diraja sempena pelancaran album ini nanti adalah penghilang rindu mereka yang tidak henti menyokong kerjaya nyanyian saya,” kata KD.

Pertama kalinya juga, album istimewa ini turut dilakarkan bagi menyambut Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2012 yang memilih Pahang selaku tuan
rumahnya dan sambutan Hari Keputeraan Sultan Pahang yang ke-82.

Lantas, pelancarannya bukan seperti kebiasaan sebaliknya Konsert Diraja pula akan menyusul sebelah malamnya pada 21 Oktober ini jam 8 malam bertempat di Pekarangan Muzium Sultan Abu Bakar dengan membariskan semua penyanyi album Mereka Yang Di Depan Kita.

Terbuka kepada umum, Konsert Diraja yang bakal menyaksikan persembahan hebat Ella, Azlan, KD, Ajai dan Hafiz ini dijadualkan begitu meriah dan hebat.

Jelas Ella pula yang bersyukur dan bertuah kerana berpeluang diberi kepercayaan untuk menyanyikan tiga lagu termasuk dua duet dalam album ini menyifatkan Konsert Diraja ini bagai kesinambungan kepada album istimewa ini.

“Pertama kali saya mendengar melodinya yang dikirimkan Ajai, ia terus menarik perhatian dan minat saya kerana melodinya yang tersendiri dengan liriknya yang begitu indah untuk dinyanyikan. Namun lebih membuatkan saya terus berkobar-kobar untuk melakukannya kerana inilah julung kalinya saya diberi mandat menyampaikan lagu khas Diraja.

“Mereka Yang Di Depan Kita adalah sebuah lagu yang begitu sesuai dengan vokal dan gaya persembahan. Saya sendiri tidak sabar untuk menyanyikan lagu ini dan dua lagi lagu bersama Azlan dan Ajai di depan kerabat dan keluarga Diraja serta
peminat pada malam Konsert Diraja malam Ahad depan itu nanti.

Pastinya mereka akan terhibur dengan persembahan kami.

“Tidak hanya bersandar pada tanggungjawab selaku penyanyi, namun kali ini saya merasakan sesuatu yang lebih istimewa apabila album ini dilaksanakan bagi mengangkat nilai muzium,” katanya.

Majlis penjenamaan yang akan disempurnakan Sultan Pahang ini turut mendapat sokongan pihak East Coast Economic Region Development Council (ECERDC).

Sebagai pembukaan, persembahan Gamelan Melayu akan membuka tirai pentas bagi mengembalikan nostalgia kegemilangan gamelan yang telah bertapak di istana Pahang hampir 200 tahun yang lalu. Persembahan nyanyian lagu Melayu klasik yang didendangkan Toh Puan Liza akan turut dipersembahkan dengan diiringi tarian dari kumpulan penari-penari Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Majlis Perbandaran Kuantan dan Pejabat Kebudayaan Negeri Pahang.

Peragaan pakaian hasil rekaan pereka fesyen ternama negara, Datuk Bernard Chandran yang mengangkat fabrik tempatan, Tenun Pahang Diraja yang ditenun di Pulau Keladi, Pekan akan juga dipersembahkan.

Pastikan jangan ketinggalan untuk memeriahkan sambutan Hari Muzium Antarabangsa ini yang bermula sejak tengah hari lagi hingga ke acara kemuncaknya, Konsert Diraja sebelah malamnya pada 21 Oktober ini di Perkarangan Muzium Negeri Pahang.

No comments:

Related Posts with Thumbnails