Thursday, January 10, 2013

Hadiri Kelas Vokal Rahsia Kemenangan Hafiz


7 Jan 2013  Oleh DHIYA AIZAT

Kategori Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu 27 sekali lagi menyaksikan jejaka kelahiran Bumi Kenyalang, Hafiz menjulang trofi tersebut buat kali ketiga berturut-turut. Tidak dapat dinafikan, alunan vokalnya yang lunak menyampaikan lagi ciptaan Ajai, "Ku Akui" menjadi faktor utama mengapa anugerah ini tidak berpindah milik.

"Saya bersyukur ke hadrat Ilahi di atas pemberian yang saya tidak boleh lupakan ini. Sokongan berterusan dari ibu dan bapa saya juga amat saya hargai. Dan sejujurnya kemenangan ini memberi inspirasi untuk saya terus berada dalam industri seni ini.

"Tentang persiapan pula, saya sebenarnya setiap kali buat persembahan untuk acara besar sebegini saya akan hadiri kelas vokal bersama Cikgu Shafi. Kita ni kadang-kadang lupa teknik pernafasan dan sebagainya. Jadi, kelas vokal ini macam ulang kaji untuk saya praktikkan apa yang pernah belajar dulu," ujar Hafiz yang membawa pulang wang tunai RM10,000 serta trofi.


Ditanya sama ada anugerah ini akan memberikan tekanan buatnya, Hafiz menganggap ianya sebagai satu cabaran untuk beliau berikan yang lebih baik buat peminat industri hiburan tempatan. Beliau berharap untuk menjadikan anugerah ini sebagai 'trademark' untuk dirinya sendiri agar lebih berusaha untuk menampilkan persembahan vokal yang lebih mantap.

Mengulas mengenai kemenangan lagu "Ku Akui" di tempat ketiga, Hafiz mengakui cukup suka akan lagu ini. Kata beliau, "Ku Akui" bukan sahaja sekadar lagu tentang percintaan tetapi juga perjalanan hidup seorang insan seni.


Dalam masa yang sama, Hafiz sedar yang beliau perlu untuk mencuba menyanyikan lagu dari genre lain juga. Jika dilihat sebelum ini, kesemua penampilan Hafiz di pentas AJL adalah menerusi lagu balada bermula dengan "Masih Jelas" dan "Awan Nano" pada tahun lepas.

"Hafiz memang nak cuba sesuatu yang baru, Hafiz nak orang kenal Hafiz sebagai seorang yang versatile. Maka sebab itulah album kedua Hafiz yang akan dilancarkan dalam masa terdekat ini bakal menghadiahkan peminat di luar sana dengan sesuatu yang berlainan.

"Hafiz cabar diri Hafiz untuk hasilkan produk yang berbeza dari sebelum ini. Kalau nak tahu, kena tunggu album yang diberi judul 'Hafiz' itu. Selain mendapatkan khidmat komposer tempatan seperti abang Ajai, Hafiz juga ada ambil lagu dari komposer Indonesia", ujar Hafiz yang turut memuatkan lagu ciptaannya sendiri, "Mungkinkah" ke dalam album keduanya ini.


"Pada Hafiz, dalam hidup ini kita kena sentiasa cabar diri kita. Jangan takut akan hasil akhir atau kualiti yang akan dinilai kerana pokok pangkalnya, ia tentang bagaimana anda usaha untuk hasilkan yang terbaik. It's about how you push yourself," kata Hafiz mengakhiri perbualan bersama GUA.

Apa-apapun, tahniah GUA ucapkan kepada Hafiz atas kemenangan beliau dan semoga Hafiz terus sukses dalam menghasilkan halwa telinga berkualiti buat kita semua!



No comments:

Related Posts with Thumbnails