Wednesday, January 28, 2015

HRC KL SESAK KERANA HAFIZ & FRIENDS


Oleh Norbee Mohd Ghani

Sesak, penuh dan padat dek penangan Hafiz & Friends. Begitulah keadaan bukan sahaja sewaktu showcase berlangsung, malah sebelum persembahan bermula, peminat-peminat yang hadir sanggup beratur panjang dan menunggu sejak jam 5 petang untuk mendapatkan tiket dan pass masuk bagi menyaksikan Hafiz & Friends semalam yang bertempat di Hard Rock Cafe KL. Sambutan peminat di KL tak kurang hebatnya, sama seperti showcase pertama mereka di Hard Rock Melaka tahun lalu.

Bermula lebih kurang 9.30 malam, di dalam segment pertama showcase yang dihostkan oleh penyampai radio Sinar selaku radio rasmi iaitu Kieran, meriah dengan celoteh bersahaja beliau seterusnya membuka persembahan pertama oleh bekas Juara Akademi Fantasi 2013 iaitu Faizul dengan lagu berjudul Perempuan dan kemudiannya dimeriahkan oleh Firman, Juara AF2014 yang membawakan lagu hit beliau berjudul Di Pintumu. Selain itu, persembahan bertenaga daripada Aril dengan single terbaru beliau yang berjudul Bangkit turut mendapat sambutan walaupun peminat seperti tak sabar menantikan persembahan daripada Hafiz.

Kemunculan Hafiz telah memukau peminatnya dengan lagu-lagu hits beliau seperti Ku Akui, Hanya Ingin Kau Cinta, Matahari, Bahagiamu Deritaku dan sebuah lagu inggeris All of Me (John Legend). Keadaan semakin gamat dengan sorakan, tepukan dan asakan daripada peminat yang sememangnya ingin mengambil gambar secara lebih dekat, tapi terbatas kerana ruang yang sempit dengan peminat yang hadir. Walau bagaimanapun, kemunculan 2 lagi bekas pelajar Akademi Fantasia iaitu Hazama dan Akim tetap dinantikan dengan sorakan apabila Akim & The Majistret muncul di segmen ketiga dengan menyampaikan lagu popular beliau iaitu Inikah Cinta, Mewangi dan Potret. Yang menarik, The Majistret dan penonton sempat lagi membuat gimik dengan menyanyikan lagu Selamat Hari Jadi buat Akim dan mengambil peluang untuk memberikan hadiah istimewa kepada beliau walaupun tarikh lahirnya disambut pada 18 Januari lalu.

Persembahan diteruskan lagi dengan vokal yang lebih mantap daripada Hazama, selain pemain violin iaitu Genevie Kam yang juga teman wanita kepada Hazama turut mengiringi band mereka pada malam itu. Hazama seperti biasa menggamatkan suasana dengan lawak jenakanya yang telah menghiburkan penonton yang hadir. Seterusnya mempersembahkan lagu berjudul Penglipurlara, Relakan Jiwa dan juga Malaikat yang memang tak mengecewakan.

Selain itu, antara segmen yang tak boleh dilupakan apabila gandingan Hafiz, Akim dan Hazama yang cuba membawakan gimik dengan mini sketch spontan yang menghiburkan. Mereka bertiga cuba menghiburkan penonton dengan watak masing-masing kununnya menjadi ahli muzik seperti pemain dram, bermain piano dan gitar. Keadaan gamat dengan gelak ketawa kerana hanya Akim seorang saja yang tahu bermain alat muzik manakala Hafiz dan Hazama tak habis-habis dengan lawak sarkastik masing-masing. Akhir sekali, persembahan penutup dihiburkan dengan lagu berjudul Yellow (Coldplay) dan juga Counting Stars (One Republic).

Rata-rata yang menyaksikan showcase ini berpuas hati dengan persembahan yang padat dan sarat dengan segmen yang menarik, malah ada yang mengharapkan agar mereka kembali lagi membuat siri jelajah serata Malaysia dengan konsep yang sama. Sama-sama kita nantikan kemunculan Hafiz & Friends, mungkinkah akan muncul di Hard Rock Penang? 

Source : http://era.fm


No comments:

Related Posts with Thumbnails