Wednesday, November 11, 2009

Fantastik Murai Menang Sorak Penonton, 11th Nov 2009






Teks oleh Razif Rosdi
Foto oleh Mazlan Photography’s

Kemunculan pelakon popular drama Kau & Aku di Sports Planet, Seksyen 16, Shah Alam sempena Kosmo! EPL Football Fever 2009 pada malam Ahad lalu, 8 November 2009, telah menggamatkan suasana dengan iringan sorakan peminat yang tidak henti-henti melaungkan nama mereka.

Malah, kelincahan pasukan Fantastik Murai yang dibarisi Akim, Hafiz, Aril, Amar dan Chaq menentang pasukan media ibarat menonton perlawanan Manchester United (MU) menentang Arsenal walaupun Fantastik tewas dengan sepakan penalti.

Selain Fantastik Murai, akhbar tabloid Kosmo! turut menghantar selebriti seperti Saida, Saerah, Amelia, Rizal AF5, Razali Hussein, Nine dan Roslan Shah untuk berlawan dengan pasukan media Kosmo! sendiri yang terdiri daripada wartawan akhbar itu.
Selepas kedua-dua pasukan ini menentang pasukan media, mereka dipertemukan untuk berlawan sesama sendiri. Bagi perlawanan kali ini, Fantastik Murai diserikan dengan keletah Stacy dan Anita Baharom yang begitu teruja bermain futsal pada malam itu.

Anita yang baru saja kecundang digelanggang Sehati Berdansa 3 berkata menang kalah adat pertandingan tetapi aktiviti sebegini amat menyeronokkan dirinya yang mencari aktiviti yang boleh mengeluarkan peluh.

"Terima kasih kerana sudi menjemput. Dah lama saya nak main futsal. Sekurang-kurangnya malam ni saya dapat keluahkan peluh," ujar Anita.

Menyokong pendapat Anita, Stacy yang hadir bersama abangnya Chaq nyata gembira dan mahu sertai pertandingan futsal lagi. Mengikut strategi awal, Stacy sepatutnya menjadi penjaga gol tetapi disebabkan pasukan lawan yang agak hebat, perancangan tersebut diubah.

Walaupun Fantastik Murai tewas dalam 2 perlawanan ini, Fantastik Murai tetap dilihat menang sorak penonton kerana bertubi-tubi menerima jeritan semangat. Lebih meriah apabila sepanjang Fantastik Murai berhempas pulas menentang lawan, geng sorak iaitu Faratik Murai tidak putus-putus melaungkan semangat buat artis kesayangan mereka itu.

Program yang tamat pada jam 12 tengah malam ini turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Dato' Ahmad Shabery Cheek yang menyampaikan hadiah kepada pemenang.
Anda juga perlu tahu..

1. Akim nyaris-nyaris terjatuh di belakang gelanggang kerana tidak perasan ada longkang.
2. Sepatutnya Mila, Yazid, Aishah, Ika Nabila dan Puteri Fateen hadir mewakili Fantastik Murai namun memohon maaf kerana terlibat dengan program lain. Tempat mereka digantikan Stacy dan Chaq.
3. Roslan Shah mendapat perhatian di tengah gelanggang kerana keletahnya yang mencuit hati.
4. Selain bermain, Hafiz dan Stacy turut memeriahkan sesi kuiz bersama peminat.
5. Habis Aril, Akim dan Hafiz dikeroyok peminat futsal yang mahu bergambar dengan mereka.
6. Hafiz sering disapa peminat dengan jeritan korus lagunya iaitu Masih Jelas!!!
7. Selepas tamat perlawanan dengan media Kosmo! Saerah bergegas pulang kerana diserang semput secara tiba-tiba.

No comments:

Related Posts with Thumbnails