Tuesday, November 10, 2009

Selebriti Kosmo! tunjuk taring - Kosmo Online, 9th Nov 2009

Oleh FERIDE HIKMET ATAK
feride.hikmet@kosmo.com.my

Meriah dan gempak! Ketika menantikan siaran langsung liga bola sepak Inggeris (EPL) pada pukul 12 malam melalui skrin besar di Sports Planet Shah Alam kelmarin, hampir 20 selebriti terkenal bersama pihak media turun padang menyertai pertandingan futsal sempena EPLx Kosmo! Football Fever. Masing-masing tidak ketinggalan menunjukkan bakat mereka biarpun ada yang pertama kali bermain futsal.

Bayangkanlah, bermacam-macam gelagat dapat diperhatikan apabila pasukan Selebriti Kosmo! yang diwakili Roslan Shah, Black, Nine Coco/OIAM3, Amylea OIAM3, Razali Hussain, Siti Saerah, Saida, Rizal AF5 dan Hanafi berlawan dengan Selebriti Murai iaitu Hafiz, Akim, Aril, Anita Baharom, Ajieb, Stacy, Amar dan Chaq.

Sama ada tahu bermain ataupun tidak, mereka tetap bersungguh-sungguh berasak-asak mengejar bola demi menjaringkan gol kemenangan. Demi mencari kemenangan untuk pasukan mereka selebriti seperti Akim dan Anita jatuh tergolek di tengah padang.

Dalam pertembungan menarik itu, pasukan Selebriti Kosmo! menunjukkan taring apabila mengalahkan Selebriti Murai dengan keputusan 3-0.

Tambah menarik Selebriti Kosmo! menjadi juara keseluruhan perlawanan persabahatan berkenaan apabila sebelum itu terlebih dahulu menewaskan pasukan Media Kosmo! dengan jaringan 3-1.

Agak mengejutkan apabila Black yang kononnya dikatakan seorang yang lembut perwatakannya, begitu hebat di gelanggang sehinggakan ramai yang mengubah persepsi mereka terhadap anak didik penyanyi dangdut Mas Idayu itu.

Rupa-rupanya, juara program Mentor itu pernah menyertai kumpulan Medan Harmoni dalam liga Selangor serta beberapa pertandingan bola yang lain.


PASUKAN Selebriti Murai diwakili Akim, Amar, Stacy, Aril, Chaq, Anita, Hafiz dan Ajieb.
"Saya tahu ramai yang kata saya ni lelaki lembut tetapi tanggapan mereka silap. Saya tahu karakter saya ini jenis lembut yang sopan. "Biasanya, bila mereka lihat saya secara berdepan sendiri, barulah mereka tahu yang saya bukanlah seperti yang mereka fikirkan.
"Apa-apa pun, menyertai futsal bersama teman-teman artis yang lain sangat menyeronokan kerana ia dapat mengeratkan lagi hubungan artis sesama artis," katanya yang turut membawa kekasihnya pada acara itu.

Ketika dalam pertandingan, Roslan Shah turut menjadi perhatian kerana karakter yang selamba. Akui bintang kelahiran Singapura tersebut, itulah kali pertama dia bermain futsal. Ada saja perkara yang dilakukan untuk mendapatkan bola daripada pihak lawan.
Roslan berpendapat memandangkan dia seorang selebriti, agak sukar untuk dia meluangkan masa untuk beriadah atau bersukan. Dengan peluang sebegini, golongan selebriti dapat memanfaatkan masa mereka untuk mengeluarkan peluh.

Sementara itu, Amylea pula berharap acara sebegitu dapat diteruskan pada masa depan kerana sebagai selebriti dia jarang berkesempatan untuk berkumpul dan bertemu dengan artis lain.
"Peluang ini memberi banyak manfaat kepada kami sebagai artis baru untuk berkenalan dengan selebriti lain. Selain itu, kita juga dapat bertemu peminat-peminat secara dekat," tambahnya.

Source : http://www.kosmo.com.my/

No comments:

Related Posts with Thumbnails