Wednesday, May 26, 2010

Teater pertama Hafiz

Teater pertama Hafiz
Oleh HARYATI KARIM
haryati.karim@kosmo.com.my

TIDAK pernah menyangka akan menjejakkan kakinya di pentas Istana Budaya menerusi sebuah teater muzikal, Hafiz yang merupakan juara Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) kini boleh tersenyum puas.

Terpilih daripada ramai calon yang menghadiri uji bakat untuk teaterKita, membuktikan anak muda dari Sarawak itu mempunyai kualiti yang lebih daripada seorang penyanyi.

"Saya sendiri pun tidak sangka akan terlibat dalam teater yang bajetnya agak besar ini. Pada mulanya saya dapat panggilan daripada pengarah teater meminta saya hadiri uji bakat untuk watak Rahman pada bulan April lalu.

"Ketika sesi uji bakat saya tidak menaruh harapan yang tinggi untuk diterima kerana saya tidak mempunyai pengalaman langsung berlakon teater," ujarnya.

Bagaimanapun, nasib menyebelahi Hafiz, apabila dia berjaya menarik minat pengarah bukan sahaja kerana kelunakan suaranya tetapi juga bakat lakonan yang dipendam selama ini.

"Ini memang teater saya yang pertama. Saya ada beritahu pihak produksi sebelum ini pengalaman saya hanyalah berlakon teater di dalam AF sahaja, syukur setelah sebulan berlatih saya semakin selesa berdiri di pentas teater," katanya.

Tambah Hafiz lagi, selain perlu berlakon dan menyanyi dalam masa yang sama dia juga perlu melontarkan kebanyakan ayat dalam bahasa Inggeris.

"Saya bukan tidak tahu bahasa Inggeris tetapi untuk bertutur dan menyanyikannya dengan begitu fasih saya dapati agak sukar pada mulanya.

"Tetapi dengan bantuan kelas lakonan dan bahasa Inggeris daripada Datin Seri Tiara Jacquelina dalam masa sebulan, ia banyak membantu perbaiki sebutan saya," tambahnya.
Beritahu Hafiz lagi, berlakon dalam teater muzikal merupakan cabaran yang besar baginya tambahan pula masa untuknya berlatih tidak sampai tiga bulan.

"Masa latihan memang agak pendek tetapi dengan kerjasama semua pihak termasuk produksi dan rakan artis yang lain, saya yakin kami mampu lakukannya dengan baik apabila ia dipentaskan pada Jun depan," tuturnya.

Terdapat lebih daripada 30 buah lagu baru yang bakal berkumandang dalam teater muzikal Kita dan Hafiz akan menyanyikan 10 daripadanya.

"Saya akan menyanyikan sembilan lagu baru dan satu lagu lama iaituGetaran Jiwa duet bersama watak Ayu yang dilakonkan oleh Nas Adilla," terangnya yang dilihat mempunyai kualiti sebagai pelakon teater semasa membuat persembahan pada majlis pelancarannya di Istana Budaya baru-baru ini.


Idea Gagasan 1Malaysia

Bercakap dengan pengarah teater tersebut Ho Ling Huay, idea untuk membikin teater tentang keharmonian rakyat Malaysia itu wujud daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon yang menyahut kempen 1Malaysia.

Menerusi perbincangan dengan pihak Istana Budaya mendapati zaman 1970-an merupakan detik yang tepat untuk menggambarkan gagasan 1Malaysia kerana ketika itu hubungan antara kaum amat erat.

"Saya memilih zaman 1970-an kerana ketika itu, hubungan antara kaum lebih erat daripada apa yang kita ada hari ini. Melalui cerita kakak saya, ketika itu dia pergi sekolah dengan rakan berketurunan India dan Melayu.

"Jadi, saya ingin kembalikan momen itu dalam teater kita. Saya ingin anak muda kita pada hari ini sedar bahawa konsep 1Malaysia itu sebenarnya sudah lama wujud dalam masyarakat Malaysia terutama penduduk di luar bandar," katanya.

Memilih Teluk Intan, Perak sebagai latar teater Kita mempunyai signifikan yang tersembunyi di sebaliknya.

Menurut Ketua Pengarah Istana Budaya, Mohamed Juhari Shaarani, Teluk Intan amat terkenal dengan menara condong. Meskipun condong tetapi itu tetap utuh berdiri sehingga ke hari ini, itulah simbolik kepada penyatuan kaum di Malaysia.

"Menara condong itu satu jenama, saya bukan memilih tempat itu kerana ia tempat asal saya tetapi ia mempunyai memori yang cukup segar di kalangan rakyat Malaysia," ujarnya yang cukup berbangga apabila teater muzikal itu mendapat banyak tajaan daripada syarikat korporat.

Teater Kita yang akan dipentaskan pada 17 sehingga 27 Jun depan mengisahkan persahabatan tiga rakan karib iaitu Rahman (Hafiz), Cheong (Eric Lin) dan Amish (Michael Rao) yang membesar di Teluk Intan, Perak.

Mereka bertiga mempunyai latar belakang yang berbeza tetapi itu tidak menghalang persahabatan mereka. Cheong merupakan anak tunggal kepada seorang peniaga kedai ubat tradisional Cina.

Amish pula dibesarkan oleh neneknya, Naini, dalam sebuah estet dan seluruh penduduk estet menaruh harapan tinggi kepadanya, Amish merupakan satu-satu pelajar dari estet yang mendapat tempat di sekolah ketika itu.

Rahman merupakan anak Pak Hassan (Datuk Jalaluddin Hassan) yang juga seorang penghulu kampung. Kemudian mereka bertiga menubuhkan satu kumpulan nyanyian yang diberi nama Kita untuk mengambil bahagian dalam pertandingan Bintang Malaysia yang diadakan di Kuala Lumpur.

Tiket yang sudah mula dijual boleh didapati dengan harga RM288 sehingga RM15 melalui semua rangkaian Axcess, Istana Budaya Box Office atau hubungi talian 03-795 45922 dan juga boleh layari laman web www.axcess.com.my.


Source : kosmo online

No comments:

Related Posts with Thumbnails