Monday, November 1, 2010

Hafiz: Artis Malaysia Pilihan bulan November

Dihantar Oleh CERITERA
Publish Date : 1-Nov-2010
Eksklusif oleh Penulis ERA: Syakireen Othman | Foto ihsan halaman peminat Hafiz di facebook


 
Lagu ‘Masih Jelas’ ternyata memberikan seribu kemanisan dan kejayaan kepada anak muda yang bernama Mohd. Hafiz bin Mohd Sulp atau nama komersialnya iaitu Hafiz yang dilahirkan pada 27 Februari 1990. Siapa tidak kenal dengan jejaka berambut kerinting serta mempunyai suara lunak yang mampu menobatkannya menjadi juara pertandingan program realiti paling popular di Malaysia iaitu Akademi Fantasia musim ketujuh. Hafiz merupakan anak sulung di kalangan adik-beradiknya dan beliau berasal dari Kuching, Sarawak.

Percubaan pertama Hafiz menyertai ujibakat Akademi Fantasia setelah beliau tamat melanjutkan pelajaran di SMK St.Joseph ternyata membawa tuah kepada anak muda yang berusia 19 tahun ketika itu. Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu, Hafiz mampu membuka mata ramai pihak yang kagum dengan bakat seninya lantas dinobatkan sebagai juara. Setelah bergelar juara, Hafiz diberi peluang mengacarakan program realiti mengenai dirinya sendiri iaitu ‘Menuju Puncak’.

Lagu ‘Masih Jelas’ mempopularkan Hafiz sekelip mata namun Hafiz nampaknya terpaksa mengharungi rintangan di dalam dunia seni apabila video muzik ‘Masih Jelas’ menimbulkan kontroversi kerana ianya seakan tidak sesuai dengan usi Hafiz dan menimbulkan isu sensitif di kalangan rakyat Malaysia sehinggakan ianya terpaksa dirakamkan untuk kali kedua dalam versi yang lain. Dan lagu ini juga membawa Hafiz ke peringkat akhir ‘Anugerah Juara Lagu ke-24’ pada awal tahun 2010. Selain berjaya sebagai penyanyi, Hafiz juga turut disambar oleh produk ‘Brands’ untuk menjadi model jenama pilihan mereka. Rezeki Hafiz semakin murah dan Hafiz berjaya mengorak langkahnya di dalam industri seni dan khabarnya beliau turut menceburkan diri di dalam bidang baru bagi memperluaskan lagi bakatnya. Sama-sama kita hayati temubual bersama Hafiz dan kalau nak tahu apakah bidang baru yang diceburi Hafiz, ikuti temubual penulis bersamanya.


 
Penulis: Apa khabar Hafiz?
Hafiz: Alhamdulillah Hafiz baik-baik sahaja. Maaf jika Hafiz susah dihubungi kerana Hafiz agak sibuk sedikit sejak kebelakangan ini.

Penulis: Dengarnya macam ada cerita terbaru sahaja. Apa perkembangan terbaru Hafiz sekarang ini?
Hafiz: Alhamdulillah rezeki Hafiz semakin bertambah sekarang ini dan Hafiz bersyukur sangat dengan rezeki yang diberikan Tuhan kepada Hafiz. Sekarang ini Hafiz telah pun mengorak satu langkah dengan menceburkan diri di dalam bidang lakonan dan drama pertama yang Hafiz terlibat sebagai pelakon ialah ‘Kau Dan Aku’ yang sedang giat menjalani penggambaran sekarang.

Penulis: Boleh ceritakan sedikit mengenai watak Hafiz dalam drama tersebut?
Hafiz: Dalam drama ini Hafiz memegang watak menggunakan nama ‘Hafiz’ sendiri tetapi karakter yang dibawakan oleh Hafiz ternyata berbeza sekali dengan karakter Hafiz yang sebenar. Ianya merupakan pengalaman yang sangat berbeza bagi Hafiz. Di dalam drama ini, Hafiz digambarkan sebagai seorang anak muda yang baru pulang dari luar Negara kerana mengikut keluarga dan melanjutkan pelajaran di sana. Namun dek kerana terlampau terpengaruh dengan budaya di sana, Hafiz dihantar pulang ke Malaysia semula bagi mengenal kembali budaya kemelayuan yang sudah lama ditinggalkan. Di Malaysia, Hafiz dihantar belajar ke Universiti Multimedia (MMU) dan berjumpa ramai kenalan di sini. Namun pelbagai konflik berlaku apabila Hafiz masih lagi mengagungkan negara luar dan agak sukar untuk memahami budaya di Malaysia.


Penulis: Mengapa Hafiz seakan menyepikan dari industri seni tanah air? Jarang rasanya mendengar berita mengenai Hafiz di media elektronik mahu pun media cetak?
Hafiz: Sebenarnya, Hafiz bukan menyepikan diri tapi sekarang ini Hafiz lebih menumpukan perhatian kepada bidang lakonan yang baru sahaja Hafiz ceburi. Kerana ini adalah kali pertama Hafiz bergelar seorang pelakon dan tentunya pengalaman ini tidak harus disia-siakan begitu sahaja.

Penulis: Adakah dengan menceburkan diri di dalam bidang lakonan, Hafiz seperti mahu meninggalkan bidang nyanyian yang memperkenalkan Hafiz di dalam industri ini?
Hafiz: Oh! Tidak sama sekali. Hafiz masih ingat lagi bahawa bidang nyanyian lah yang memperkenalkan Hafiz di mata peminat dan Hafiz tidak sekali-kali akan meninggalkan bidang yang Hafiz sayangi. Hafiz masih lagi mementingkan kerjaya sebagai seorang penyanyi dan mahu lebih serius lagi dalam bidang nyanyian. Bidang lakonan ini Hafiz mahu jadikan batu loncatan kepada perjalanan karier seni Hafiz agar Hafiz mampu berjaya di dalam kedua-dua bidang. Kalau kita tengok, apabila menyanyi kita memerlukan ekspresi dan penghayatan yang mendalam untuk membawakan sesebuah lagu. Begitu juga bidang lakonan yang memerlukan karakter yang sama dan Hafiz cuba mengaplikasikan cara pembawaan Hafiz dalam bidang nyanyian kepada bidang lakonan pula. Mana lah tahu Hafiz mampu berjaya di dalam kedua-dua bidang ini dan pastinya ianya suatu pencapaian yang membanggakan sekali dalam hidup Hafiz.

Penulis: Bilakah Hafiz mahu hadir bersama album terbaru?
Hafiz: Mengenai album, InsyaAllah tidak lama lagi tetapi kini Hafiz sedang mengatur strategi untuk melancarkan single demi single khusus untuk para peminat setia Hafiz. Dan Hafiz juga mempunyai perancangan untuk mengeluarkan single terbaru kemungkinan besar pada tahun hadapan yang dicipta sepenuhnya oleh hafiz sendiri yang berjudul ‘Mungkinkah’. Hafiz masih lagi merancang untuk menghasilkan muzik video ini kelak dan sekarang Hafiz mahu menumpukan kepada single ‘Awan Nano’ yang sudah dapat didengari di coron-corong radio sekarang ini. InsyaAllah tidak lama lagi muzik video ‘Awan Nano’ akan dilancarkan dan ianya masih lagi di dalam perancangan.


Penulis: Apakah perancangan Hafiz seterusnya dalam industri ini?
Hafiz: Sebenarnya Hafiz mempunyai sebuah impian yang Hafiz belum pernah kongsikan dengan mana-mana pihak iaitu impian Hafiz ingin mempunyai studio sendiri dan juga bergiat aktif sebagai komposer yang berjaya. Ini kerana Hafiz tersangat mencintai bidang seni nyanyian dan Hafiz mahu menghasilkan sesuatu menerusi bakat semulajadi yang Tuhan berikan kepada Hafiz. Dan kemungkinan besar Hafiz mahu membuka studio sendiri di Kula Lumpur dan membawa keluarga Hafiz berhijrah ke sini dan memberikan sepenuh sokongan kepada Hafiz. InsyaAllah, semuanya masih lagi dalam perancangan dan juga impian Hafiz sendiri.

Penulis: Apakah harapan Hafiz terhadap para peminat setia Hafiz yang selama ini tidak jemu-jemu memberikan sokongan kepada Hafiz?
Hafiz: Tentu sekali Hafiz ingin mengucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada para peminat setia Hafiz yang tidak pernah jemu memberikan sokongan yang padu kepada Hafiz. Hafiz harap anda semua tidak akan berhenti memberikan sokongan kepada Hafiz dalam meneruskan kerjaya dalam setiap bidang yang Hafiz ceburi.


Penulis: Apakah perasaan Hafiz terpilih sebagai Artis Pilihan ERA bulan November?
Hafiz: Sudah pastinya Hafiz rasa gembira sekali di atas pemilihan ini. Hafiz tidak sangka bahawa Hafiz akan terpilih dan rasa sungguh bangga keran ini adalah kali pertama Hafiz menerima pencalonan sebegini. Terima kasih ERA fm kerana sudi memberikan Hafiz peluang sebegini.

Penulis: Berikan sedikit ucapan kepada para pendengar setia ERA fm.
Hafiz: Baiklah. Kepada para pendengar setia ERA fm, anda harus dengar ERA setiap hari kerana ERA hanya membawakan yang terbaik untuk anada dan jangan lupa membuat pilihan dan undi lagu-lagu Hafiz di ERA ya!
Tahniah Hafiz kerana menjadi artis pilihan ERA pada bulan November ini. Semoga Hafiz berjaya di dalam kedua-dua bidang yang diceburinya. Kami di ERA fm akan senantiasa mendoakan kejayaan anda. Kami berharap agar Hafiz hadir membawakan sesuatu yang lebih istimewa menerusi bakat semulajadi yang Hafiz miliki dan mampu membuka mata semua pihak di dalam industri ini. Semoga berjaya Hafiz!

Source : http://www.era.fm

No comments:

Related Posts with Thumbnails