Thursday, November 18, 2010

Sekitar Showcase Kau dan Aku Musim Kedua

Drama hiburan Kau dan Aku kembali di Astro RIA untuk musim kedua

Setelah mendapat sambutan yang amat menggalakkan pada musim lepas, Astro RIA dengan bangganya memberi kesinambungan kepada drama hiburan yang menggabungkan lakonan, tarian dan nyanyian, Kau & Aku untuk musim kedua yang akan mula menemui para penonton pada setiap hari Selasa, jam 9.00 malam bermula 23 November ini.

Menurut Pengurus Saluran Astro RIA; Puan Azlin Reza Azmi, “Kau dan Aku musim kedua merupakan kesinambungan drama hiburan musim pertama yang mendapat sambutan hangat daripada para penonton kami terutamanya golongan remaja.


Kami yakin drama bersiri musim kedua ini lebih menarik perhatian penonton apabila ia menampilkan gabungan pelakon daripada musim pertama dan pelakon-pelakon baru yang akan menari dan menyanyi pada masa yang sama pada setiap episod. Konsep drama muzikal yang ditekankan dalam drama ini masih dikekalkan tetapi dirancakkan lagi jalan cerita yang lebih menarik untuk tontonan semua golongan”

Drama yang diterbitkan oleh syarikat produksi tempatan Double Vision ini juga menerima garapan sentuhan pengarahan oleh Roslan Hussein, Chan Wai Cheang, Ho Chee Wai dan Simon Long.

Kau & Aku musim kedua memperkenalkan beberapa muka baru seperti Anith Aqila yang akan memegang watak utama selain pelakon popular Toni Eusof, Kathy Fauziah dan Zulkifli Zain. Selain itu drama ini juga berbesar hati memperkenalkan Mimie Harris dan Lana Nordin, dua pelakon baru berbakat besar yang semakin meningkat naik serta Alif; bintang kelahiran dalam AF8 selain mengembangkan watak Hafiz AF7 yang hanya membuat penampilan istimewa pada musim lepas.

Manakala Akim dan Aril masih dikekalkan sebagai watak utama di samping barisan pelakon musim lepas seperti Raja Farah, Farish, Amar Anak Wayang, Mimi, Ika Nabila, Anita Baharom, Putri Fateen, Riezman dan Sabrina Ali.

Drama hiburan bersiri 26 episod pada kali ini menyambung kisah warna warni kehidupan para pelajar di Kolej Harmoni. Setelah Mila melanjutkan pengajiannya di United Kingdom, muncul seorang gadis bercita-cita besar dan bersemangat tinggi bernama Elena (Anith).

Kelebihan vokal yang memukau, sikapnya yang mudah mesra menyebabkan dia disenangi ramai terutama tenaga pengajar. Situasi ini tidak disenangi sebahagian pelajar yang menganggapnya sebagai ancaman apatah lagi dengan statusnya sebagai pelajar junior.

Bagi menyambung tradisi pada musim pertama, drama bersiri ini akan terus diselang-selikan dengan persembahan muzikal melalui lagu-lagu dan bait-bait lirik yang begitu indah untuk diingati dengan elemen romantis, sedih, geram dan lucu yang sudah menjadi asam garam kehidupan remaja.

Menariknya untuk musim kedua, drama hiburan ini mendapat sentuhan muzik daripada komposer terkenal yang banyak melakukan skor muzik untuk filem tempatan seperti Cinta dan Papadom iaitu Dr Syed Ahmad Faizal Al- Attas atau lebih dikenali sebagai Pacai.

Sebanyak sembilan buah lagu runut bunyi akan menjadi latar belakang drama bersiri ini yang turut akan dimainkan di stesen-stesen radio. Kali ini, lagu Kau Ku Temu menjadi lagu tema musim terbaru ini yang dinyanyikan oleh Akim, Aril, Anith dan Hafiz.

Selain itu, Akim turut menyumbangkan tiga buah lagu solo menerusi lagu Bawa Ku Pergi, Janji dan lagu yang menjadi siulan masa kini iaitu Inilah Cinta. Hafiz pula akan menyumbangkan dua lagu daripada album pertamanya, Noktah Cinta dan Awan Nano manakala Aril akan tampil dengan dua buah lagu hits Biar Begini dan Dua Insan Bercinta. Sementara itu, para penonton pasti akan terpukau dengan nyanyian lagu Mulanya Di Sini nyanyian Akim, Aril, Anith, Tony Eusof dan Mimi Harris yang juga merupakan sebuah gabungan nyanyian paling mantap dalam drama hiburan ini.


Tambah Azlin, “Bagi merancakkan promosi Kau dan Aku musim kedua, kami berbesar hati membawakan persembahan showcase di Plaza Alam Sentral, Shah Alam. Kami menjangkakan sambutan showcase kali ini bakal mengulangi atau melebihi sambutan musim lepas dengan kehadiran lebih 5000 pengunjung. Showcase kali ini turut menjadi platform untuk memperkenalkan para pelakon dan runut bunyi serta memberi peluang kepada peminat untuk bertemu mesra dengan para selebriti kesayangan mereka. Selain dapat turut serta dengan pelbagai aktiviti permainan yang menarik, pengunjung juga akan berpeluang untuk bertemu bintang-bintang Akademi Fantasia 8, pasangan Mari Menari dan para pelakon dram Cornetto Inikah Cinta dan Ponti Anak Remaja”

Drama hiburan bersiri Kau dan Aku musim kedua turut mendapat sokongan daripada Era sebagai penyiar radio rasmi. Bagi merancakkan kempen promosi secara menyeluruh, laman web rasmi www.astro.com.my/kaudanaku akan memudahkan penonton mendapatkan informasi terkini termasuk foto di sebalik penggambaran, rebiu mingguan, dan banyak lagi. Bukan itu sahaja, www.murai.com.my masih kekal sebagai portal hiburan rasmi yang akan sentiasa mengikuti perkembangan drama hiburan bersiri ini.*

Jangan lupa untuk menonton drama hiburan bersiri; Kau & Aku pada setiap hari Selasa, jam 9 malam, bermula 23 November ini, hanya di Astro RIA (saluran 104).

Source : www.budiey.com

No comments:

Related Posts with Thumbnails