Tuesday, November 22, 2011

Top 5 tidak semestinya ke AJL26



PERTANDINGAN Muzik-Muzik 26 yang sudah sampai ke peringkat separuh akhir membahagikan peringkat itu kepada tiga bahagian di mana lima peserta dalam top 5 daripada setiap bahagian layak untuk persaingan seterusnya.

Bagaimanapun menurut Penerbit Muzik-Muzik 26, Nurul Huda Khalid, tidak semua peserta dalam kelompok lima teratas pertandingan itu akan beraksi di akhir iaitu Anugerah Juara Lagu 26 (AJL26). Sebaliknya ada yang akan disingkirkan.

“Setiap bahagian separuh akhir Muzik-Muzik 26 akan menampilkan lima teratas. Keseluruhannya 15 peserta akan ditampilkan di peringkat ini. Sedangkan kami hanya akan menampilkan 12 peserta pada Anugerah Juara Lagu 26,” katanya.

Pada peringkat separuh akhir Muzik-Muzik 26 bahagian pertama itu, 11 peserta bertanding dan lima yang terbaik ialah 3 Suara , Yuna, Alyah, Hafiz dan Nubhan.

Enam pesertanya iaitu kumpulan Hujan, Iqa, Akim, Sofaz, Stacy dan Drama telah disingkirkan kerana mendapat markah terendah.

Rata-rata peserta yang disenaraikan dalam kelompok lima teratas separuh akhir Muzik-Muzik 26 bagaimanapun tidak berani meletakkan harapan yang tinggi untuk bersaing ke Anugerah Juara Lagu 26 kerana persaingan boleh dikatakan agak sengit.

Alyah misalnya, kini bergelut dengan penyakit apendiks yang dihidapinya dan masih terlalu awal untuk dia meletakkan harapan tinggi pada pertandingan itu.

“Malam ini pun saya terpaksa menahan sakit apendiks yang saya hidapi semata-mata bagi meneruskan saingan peringkat separuh akhir pertama ini.

“Ada ramai lagi peserta yang akan bertanding pada bahagian dua dan tiga nanti.

“Saya bukan sahaja terpaksa mengetepikan nasihat doktor agar berehat daripada menyanyi, tetapi turut menahan sakit bagi memastikan lagu nyanyian saya Kisah Hati dapat dipertandingkan dalam pertandingan ini.
“Saya terpaksa makan ubat penahan sakit. Itu pun untuk sementara waktu di mana beberapa jam selepas itu perut saya akan akan sakit semula.

“Ini kerana menyanyi ada kaitan dengan perut yang membantu vokal,” jelasnya.

Berbaloi

Namun, pengorbanan Alyah berbaloi kerana lagu Kisah Hati ciptaan Manusia Putih itu berjaya disampaikannya dengan penghayatan yang baik biarpun berdepan dengan kesakitan.

Empat peserta lagi ialah Nubhan (Mata Hati), Yuna (Gadis Semasa), Hafiz (Awan Nano) dan 3 Suara yang dianggotai Ning Baizura, Shila dan Jaclyn Victor (Beribu Sesalan).

Jika Alyah layak ke Anugerah Juara Lagu maka itu adalah kejayaan keduanya. Pertama kali dia layak sehingga ke peringkat itu ialah dua tahun lepas melalui lagu Tak Mungkin Kerana Sayang.

Para juri yang mengadili peserta Muzik-Muzik 26 ialah Azhar Borhan, Hazami, Yasin, Dr. Lim Swee Tin dan Azlan Abu Hassan.

Kebanyakan peserta yang terpilih dalam itu berharap agar mereka mampu meneruskan saingan, misalnya Nubhan yang sebelum ini pernah kecundang. “Ini kali keempat saya mencuba nasib dalam Muzik-Muzik. Contohnya, pada tahun lepas lagu nyanyian saya, Seadanya Aku gagal ke akhir pertandingan ini.
“Saya harap lagu ini diterima oleh para juri untuk terus dipertandingkan,” komennya.

Bagi 3 Suara yang dianggotai Ning Baizura, Jaclyn Victor dan Shila Amzah, mereka juga tidak berani untuk terlalu yakin biarpun kekuatan vokal serta populariti mampu membawa lagu Beribu Sesalan ke Anugerah Juara Lagu 26.

“Ini adalah sejarah buat kami bertiga dan juga Muzik-Muzik kerana pertama kali sebuah lagu yang dinyanyikan tiga penyanyi dipertandingkan dalam pertandingan ini. Harap lagu ini boleh pergi lebih jauh,” kata Ning.

Sementara itu, Hafiz yang bertanding atas tiket lagu Awan Nano juga tidak meletakkan harapan menggunung berdasarkan saingan yang lebih sengit daripada 19 lagi peserta pada bahagian dua dan tiga peringkat separuh itu.

“Saya mengharapkan lagu Awan Nano ke akhir. Tetapi bukanlah harapan yang tinggi menggunung kerana saingan semakin sengit termasuklah dalam kelompok lima terbaik pada minggu ini terutamanya 3 Suara,” ujarnya.

Pada bahagian dua dan tiga peringkat separuh akhir Muzik-Muzik 26 nanti, antara peserta yang akan bersaing ialah Najwa Latif, Hazama, Aizat, Tomok, Adira, Projek Pistol, Shahir, Yuna, Anuar Zain, Faizal Tahir, Shiha, Salma dan Ana Raffali.

No comments:

Related Posts with Thumbnails