Wednesday, March 5, 2014

Hafiz Pamer Kebolehan Dengan Minggu Setiausaha Sulungnya


Juara Akademi Fantasia musim ke-7, Hafiz Suip kini sudah bersedia mempamerkan kebolehannya dalam mengendalikan sebuah persembahan minggu setiausaha yang dinamakan 'A Golden Moment with Hafiz'.

Anjuran COOP Matrade dengan kerjasama AMI Global Sdn Bhd, acara tersebut bakal berlangsung pada 22 April bermula jam 12 tengahari hingga 4 petang di dewan megah MATRADE Hall, Matrade Exhibition & Convention, Jalan Khidmat Usaha, off Jalan Duta.

'A Golden Moment with Hafiz' disifatkan cukup peribadi untuk membuktikan keberanian serta kesediaan penyanyi hebat kelahiran Kuching, Sarawak berkenaan untuk tampil mengemudi minggu setiausaha yang julung kali dijayakannya selepas lima tahun berkelana sebagai anak seni.


"Apabila bercakap mengenai minggu setiausaha, lazimnya ia 'platform' buat artis-artis A-list dan bertaraf penghibur, sedangkan saya masih baru dalam arena seni suara. Saya akui gementar untuk menjayakan acara ini namun kepercayaan yang diberikan penganjur COOP Matrade dengan kerjasama AMI Global Sdn Bhd memberi keyakinan untuk saya mencuba.

"Tambahan pula dengan pengalaman lima tahun dalam bidang nyanyian, sudah sampai masanya saya mencabar diri dan menimba pengalaman di pentas yang melengkapkan ilmu seorang penyanyi kepada seorang penghibur," kata Hafiz ketika ditemui di majlis sidang media  tersebut di Restoran Serai semalam.


Majlis tersebut turut menampilkan rakan seangkatannya, juga pasangan duetnya menerusi lagu 'Ombak Rindu' dan 'Salahkah', Adira. Adira akan mendendangkan dua buah lagu popularnya. Persembahan mereka akan diringi Pengarah Muzik. Aznan Alias atau lebih dikenali sebagai Nan dengan Afdlin Shauki sebagai pengacara.

Mereka yang enggan terlepas peluang menyaksikan persembahan Hafiz juga Adira dan Afdlin, tiket dijual pada harga RM780 untuk tiket Platinum, manakala RM680 (Emas) dan RM580 (Perak).Tempahan boleh dibuat dengan menghubungi talian AMI Global Sdn Bhd di 03-29005526 / 03-92005526, Azizah (012-2013501), Yusri (019-2513575) dan Ariff (016-4458748).




No comments:

Related Posts with Thumbnails