Wednesday, March 5, 2014

Pencapaian Hafiz Suip luar biasa


MENELITI perjalanan karier nyanyiannya, bakat yang dimiliki bintang kelahiran program Akademi Fantasia Musim ke-7, Hafiz Suip bukanlah calang-calang. Ini terbukti pada usianya yang mencecah 24 tahun semalam, pelbagai kejayaan dalam industri seni tanah air telah dicapai.

"Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dengan kejayaan yang saya kecapi hari ini.

"Kejayaan ini juga tidak akan tercapai tanpa bantuan dan sokongan daripada ibu bapa dan juga peminat," katanya ketika ditemui pada majlis Doa Kesyukuran sempena kejayaannya sepanjang 2013, bertempat di Hotel Hilton, Kuala Lumpur, kelmarin.

Mengulas lanjut mengenai kejayaannya itu, perjuangan pelantun 'Bahagiamu Deritaku' ini tidak hanya terhenti di situ apabila dia turut menanam azam melebarkan sayap kariernya sehingga ke luar negara.

"Kalau boleh, tahun ini saya berazam untuk lebarkan lagi sayap karier saya dengan membawa nama industri tanah air ke luar negara seperti mana yang dilakukan beberapa artis lain seperti Yuna, Shila Amzah dan juga Datuk Siti Nurhaliza.

"Buat masa sekarang, asya berada pada peringkat permulaan dan masih merangkak untuk cuba tembusi pasaran Indonesia.

"Walaupun agak sukar, namun dengan bantuan dan peluang yang diberi pihak Warner Music di Indonesia, single saya bersama Datuk Rossa diterima baik di sana dan itu adalah langkah pertama saya," jelasnya yang bakal tampil dengan single terbarunya berjudul 'Kesimpulan'.

Sempena ulang tahunnya yang ke-24, semalam, Hafiz akan meraikannya bersama kira-kira 50 orang peminat dengan melakukan aktiviti santai di Bukit Cerakah, Shah Alam pada Ahad ini.

Bakal jadi komposer

Bersyukur dengan kejayaan 25 anugerah yang diperolehi, Hafiz akui itu bukanlah perkara utama yang dikejarkan.

"Sebenarnya tujuan saya berada dalam industri ini adalah untuk mengangkat karya-karya hebat ke peringkat yang baik. Bagi saya penerimaan anugerah itu adalah satu bonus bagi kerjaya saya sebagai seorang penyanyi," katanya.

Hafiz memberitahu selain menyanyi, dia juga kini cuba berjinak-jinak dalam menghasilkan lagu ciptaannya sendiri.

"Setakat ini saya baharu hasilkan lirik dua buah lagu dalam album pertama iaitu 'Deklamasiku' dan 'Mungkinkah'.

"Secara jujur saya agak takut kerana komposer yang lebih hebat. Banyak lagi yang perlu saya belajar dan perbaiki," katanya yang turut berhasrat untuk mengadakan konsert solo berskala besar jika diberi peluang.

For full article : http://www.sinarharian.com.my


No comments:

Related Posts with Thumbnails