Wednesday, November 18, 2009

Giliran Hafiz Ke Separuh Akhir Muzik-Muzik


by Miss Ayu 18 Nov 2009

Selepas gagal beraksi di pentas Separuh Akhir Muzik-Muzik minggu lalu kerana ada komitmen lain, minggu ini Hafiz bakal memeriahkan acara yang dinanti-nanti oleh peminat muzik.

Penyertaan Hafiz menjadi perhatian kerana ramai peminat meletakkan harapan tinggi agar dia turut tersenarai di dalam Top 5. Semua ini gara-gara kejayaan rakan seakademinya Akim, Stacy dan Nubhan yang diumumkan sebagai Top 5 pada pusingan kedua minggu lalu.

Harapan tinggi yang diletakkan kepada Hafiz, dilihat sedikit sebanyak akan memberi tekanan kepadanya. Maklumlah, peminat sekarang mudah menyalahkan artis jika hasrat mereka tidak dapat dipenuhi.

Mengulas tentang perkara tersebut, Hafiz yang ditemui selepas sesi StarChat yang berlangsung di pejabat GUA semalam, sempena pelantikannya sebagai duta Brands Generasi Hebat, memberitahu yang dia sedar peminatnya akan meletakkan harapan tinggi padanya selepas Akim, Stacy dan Nubhan berjaya tersenarai sebagai Top 5. Bagaimanapun, dia menafikan yang dia berasa tertekan ketika ini.

“Untuk Separuh Akhir Muzik-Muzik nanti saya akan lakukan yang terbaik. Saya tidak mahu menekan diri sendiri hanya kerana rakan-rakan yang lain berjaya ke Top 5. Sebaliknya saya bangga dengan kejayaan mereka. Kalau mereka terus mara ke peringkat akhir, itu sudah rezeki mereka. Akim pun ada menghubungi saya baru-baru ini. Dia kongsi pengalaman ketika berada di belakang pentas dan suruh saya lakukan yang terbaik. Antara tip yang Akim berikan ialah tumpukan perhatian dan jangan ingat ia satu pertandingan,” jelas Hafiz.

Bercerita tentang persiapannya untuk Jumaat nanti, Hafiz memberitahu yang dia sekarang ini memang ada berlatih secara konsisten dengan pihak Enfiniti Productions Sdn Bhd selepas sahaja Akademi Fantasia berakhir.

“Untuk Separuh Akhir Muzik-Muzik nanti, saya memang buat persiapan yang sepatutnya. Setiap Isnin, Selasa dan Rabu saya ada kelas untuk berlatih tarian dan vokal. Kelas ini sebenarnya bukan semata-mata untuk Muzik-Muzik tetapi memang kelas biasa yang perlu Hafiz hadiri. Cuma sekarang ini kita tumpukan untuk persembahan Jumaat nanti.

“Apa yang boleh saya katakan, persembahan saya nanti tidak melibatkan mana-mana penari. Hanya saya yang akan berada di pentas. Ini kerana saya yakin lagu “Masih Jelas” itu sudah kuat. Saya hanya perlu sampaikannya dengan sebaik-baiknya. Saya juga ada meminta pendapat pereka tari Pat Ibrahim untuk persembahan pada malam itu, dia pun cakap benda yang sama. Tidak perlu ada penari kerana melodi dan lirik lagu itu sudah kuat,” tambah Hafiz yang turut mengakui dia tidak mendapat sebarang tekanan daripada pihak pengurusan Astro Entertainment Sdn Bhd.

Jadi Ben 10

Dalam perkembangan lain, penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak ini telah menyumbangkan suaranya untuk filem animasi ‘Ben 10: Alien Swarm’ yang akan disiarkan melalui saluran Cartoon Network di Astro pada 28 November ini, jam 6 petang. Bukan memegang watak sampingan tetapi beraksi sebagai Ben 10 sendiri.

Berkongsi cerita tentang pengalamannya di balik tabir, Hafiz memberitahu sebenarnya bukan mudah untuk melakukan alih suara. Ini kerana dia perlu menjiwai watak Ben 10 itu.

“Intonasi suara kena betul. Kalua dia jatuh misalnya, saya kenalah bersuara macam orang yang terjatuh. Sebab itu masa rakaman, saya juga turut mengikut apa yang Ben 10 lakukan. Memang agak memenatkan tetapi saya seronok dan puas kerana dapat mencuba sesuatu yang baru. Saya ambil masa tiga hari untuk siapkan proses rakaman, dalam sehari hanya ambil masa beberapa jam iaitu dari jam 10 malam hingga 2 pagi, “ cerita Hafiz mengakhiri perbualan.

Source : http://www.gua.com.my

1 comment:

Unknown said...

Berdebarnya..apiz nak berlagu jemat tokkkkk

Related Posts with Thumbnails