Thursday, January 6, 2011

HAFIZ AF7 KEMALANGAN

Dihantar Oleh CERITERA

Publish Date : 6-Jan-2011

Oleh Syakireen Othman / Foto ihsan AFTalent Fb




Dunia seni hiburan tanahair dikejutkan dengan berita kemalangan penyanyi kelahiran Akademi Fantasia ketujuh iaitu Hafiz yang telah terlibat dengan kemalangan pada 3 Januari 2010. Berita ini tidak dikeluarkan di mana-mana media namun pihak pengurusan artis-artis kelahiran Akademi Fantasia dan juga blog peminat Hafiz ada memaparkan mengenai penyanyi yang popular dengan lagu ‘Noktah Cinta’ dan ‘Awan Nano’ ini. Dikhabarkan bahawa kini Hafiz berada dalam keadaan yang stabil dan penulis berkesempatan menemubual pengurusnya, Sheera menerusi telefon petang semalam. Sheera memberitahu bahawa kejadian kemalangan yang menimpa Hafiz berlaku dua hari lepas semasa Hafiz baru sahaja pulang dari menjalani latihan vokal.

Menurut Sheera, “Kemalangan tersebut berlaku kira-kira jam 11.30 malam dan Hafiz hanya menghubungi saya kira-kira jam 11.50 malam. Selepas kejadian, Hafiz sempat menghubungi ibunya dan beliau segera menghantar Hafiz ke KPJ Damansara. Sebab kemalangan adalah kerana kecuaian kereta lain yang tiba-tiba memintas kereta Hafiz sehingga Hafiz terpaksa brek secara mengejut lalu terlanggar pokok di Lebuhraya Penchala. Semasa kejadian, Hafiz memandu seorang diri dan apa yang saya boleh katakan mengenai dirinya kini ialah beliau berada dalam keadaan stabil dan boleh berjalan, cuma mengalami kecederaan di bahagian tengkuk sehingga memaksa beliau menggunakan sokongan di tengkuknya dan juga kecederaan dalaman dan lebam di bahagian belakang beliau. Mengenai kereta pula, boleh dianggarkan ‘total lost’ namun pihak insurans menjamin bahawa kereta itu boleh dibaik pulih semula.

Umum mengetahui bahawa tinggal beberapa hari sahaja lagi Anugerah Juara Lagu akan diadakan di Stadium Putra Bukit Jalil pada 9 Januari 2011. Hafiz merupakan salah seorang finalis yang akan melakukan persembahan pada malam tersebut. Di asak dengan pertanyaan mengenai penglibatan Hafiz di dalam anugerah tersebut kelak, Sheera sempat memberikan kata ucapan dari Hafiz sendiri. “Untuk pengetahuan para peminat Hafiz semua, pada mulanya pihak Astro bimbang untuk membenarkan Hafiz melakukan persembahan pada malam tersebut, namun Hafiz berkeras untuk berjuang menyanyikan lagu ‘Noktah Cinta’ pada majlis anugerah tersebut kelak.

Walau apa pun yang terjadi, Hafiz nekad melakukan persembahan dan beliau seorang yang kuat semangat dan masih lagi menjalani latihan vokal meskipun baru sahaja kemalangan. Pada petang semalam, Hafiz telah pun menjalani latihan vokal bersama Cikgu Shafi dan melakukan sesi raptai di Stadium Putra Bukit Jalil. Hafiz juga sempat memberikan ucapan agar para peminatnya sentiasa memberikan sokongan yang penuh terhadap dirinya dan beliau sanggup melawan kesakitan itu demi memenuhi permintaan para peminatnya yang ingin melihat beliau beraksi di Anugerah Juara Lagu. Hafiz mahu memaparkan yang terbaik dari dirinya pada malam tersebut. Bak kata Hafiz, ‘Banzai!’,jelas Sheera panjang lebar.

Kami di ERA fm mendoakan agar Hafiz sentiasa kuat semangat dan semoga cepat sembuh ya! Semoga apa yang berlaku ada hikmahnya. Mungkin Hafiz bakal bergelar Juara di malam tersebut, siapa tahu?Jaga diri ya Hafiz dan selamat berjuang!


Source : ERAfm blog

No comments:

Related Posts with Thumbnails