Sunday, January 8, 2012

Menunggu jodoh tiba

Oleh SITI ATHIRAH DZULKIFLY athirah.dzulkifly@utusan.com.my 
Foto NOORADZRENE MOHD NOOR 
Solekan Atie Jengka (0133408200) (Menggunakan Shu Eumura Busana Ezuwan Ismail Lokasi Terima Kasih Saloma Bistro Kuala Lumpur


TERCARI-CARI di mana letaknya ketidakserasian di antara dua penyanyi remaja ini tatkala heboh satu Malaysia memperkatakan bahawa itulah punca yang membawa kepada perpisahan dua insan muda ini.

Sungguh! Tidak terlihat rasa kekok di antara mereka berdua, dua produk dan bintang realiti popular Akademi Fantasia (AF) ini. Masing-masing boleh bertepuk tampar, bergurau dan kadangkala terlihat Adira mencubit manja paha kiri Hafiz memandangkan si jejaka kuat benar menyakat si gadis. Lucu betul bila kedua-dua mereka `kantoi’ kuat melatah rupanya. Pun begitu. Terlintas pertanyaan di hati. Kalau benarlah apa yang dipertontonkan itu bukan satu propaganda, maka mana datangnya istilah tidak serasi seperti yang didakwa? Kalau tak serasi, masakan boleh mereka berdua mudah memberi kata setuju semasa Pancaindera mempelawa kedua-duanya untuk digandingkan dalam satu pertemuan dan penggambaran Khamis lalu.

Dalam suasana tenang, Hafiz yang sedari awal bagai sudah dapat meneka soalan yang bakal `ditembak’ padanya. Tidak lekang dengan senyuman, pelantun lagu Awan Nano ini membuka hijab segala yang terkandung di dalam hati berhubung isu. 
“Siapa kata kami tak serasi?” demikian kata Hafiz sebagai pembuka bicara. Menyifatkan hubungannya dengan Adira akan terus kekal baik, kata Hafiz, dia tidak pernah menganggap hubungan itu gagal atas dasar tiada keserasian. “Tipulah kalau saya kata saya tak suka pada Adira. Lagi-lagi orang berjiwa muda seperti saya. Dia cantik dan baik. Jujurnya saya memang sayang pada dia.
“Tetapi ada beberapa faktor yang menyebabkan kami terpaksa `berehat’ dan memberi ruang buat diri masing-masing daripada memikirkan soal perasaan. “Memang benar, mana mungkin manusia boleh dipisahkan daripada soal perasaan. Itu lumrah hidup. “Namun kami perlu fikirkan situasi sekarang yang menuntut kami untuk lebih memikirkan soal kerjaya,” kata Hafiz, menyerlahkan sisi matang dalam dirinya.

Menganggap perpisahan itu satu titik positif, kata Hafiz, dia punya satu prinsip yang berkait rapat dengan tindakannya memutuskan hubungan yang bertahan selama setahun itu. “Saya selalu ingat pesan ibu dan ayah. Kata mereka, kalau nak sayangkan orang lain, kita perlu sayangkan diri kita dulu. “Saya lihat ini dari sudut karier. Lebih baik saya kukuhkan karier saya dulu sebelum fikir soal lain. Saya percaya kami profesional. “Kalau kami tak bersama pun, itu tidak bermakna kami tak boleh bekerjasama bila diminta atau disuruh. “Cuma, cinta itu masih belum afdal buat masa ini sebab kami masing-masing pun masih muda,” ujarnya.

Berbaloikah? 

Pernah dikejutkan dengan kontroversi mengaitkan dia bertumbuk dengan seorang wanita berpewatakan lelaki pertengahan tahun lalu, Hafiz ketika itu menerima tamparan hebat. Hafiz dikatakan bertindak kasar dengan pengkid tersebut hanya kerana mahu mempertahankan haknya sebagai teman lelaki Adira ketika itu. Perbuatan itu lalu menyebabkan rata-rata masyarakat menyindir Hafiz yang dikatakan cuba berlagak ala Hero Malaya Terakhir.

Sengaja mengusik empunya diri sama ada berbaloikah dia terjebak dengan isu sebegitu, sedangkan sekarang hubungannya dengan Adira tidak kemana, ini jawapan yang diberi. “Berbaloi atau tidak itu semua tak ada kaitan dengan hamba Allah itu. Keputusan yang kami buat ini adalah hak peribadi. Tak ada kaitan dengan yang hidup ataupun yang mati. “Kalau boleh tak payah kaitkan dengan isu itu sebab itu semua cerita lepas. Saya pun tak mahu menoleh ke belakang,” katanya. 

Adira buka buku baru

Beralih mencari pandangan dari kaca mata penyanyi yang popular dengan lagu Ku Ada Kamu ini pula, Adira sebagaimana Hafiz, seakan berkongsi satu rasa yang sama. Tidak mengiya bahkan tidak menafi, wanita berusia 21 tahun ini lebih selesa melihat transformasi hubungannya dengan Hafiz sebagai satu perkara yang biasa. Baginya, selagi namanya jodoh, ia akan datang jua tanpa perlu dipaksa-paksa.
“Macam Hafiz katakan, saya juga mahu mengutamakan kerjaya dulu sebelum serius memikirkan soal hati. “Saya lebih suka menyerahkan semua ini pada ketentuan Tuhan. Macam biasa orang cakap, kalau ada jodoh nanti adalah. “Saya pun tak mahu orang menyampah dengan cerita-cerita cinta kami walau saya sedar, suka atau tidak itu terserah pada individu yang membaca dan melihat. “Apa pun lebih baik jika kami stabilkan kerjaya buat masa sekarang. Kalau ada jodoh antara kami, kami akan beritahu dan kongsi dengan semua,” katanya. 

Menurut gadis genit kacukan Dusun Kadazan ini, dia juga memasang hajat untuk memandang segalanya baru sempena kemunculan tahun baru ini. “Tahun baru ini saya berazam untuk buka buru baru. Dari aspek hubungan, bukannya saya langsung tidak berkawan dengan Hafiz. Kami rapat. “Tapi keadaannya dah tak macam dulu. Semasa kami bersama, rasanya faktor masa adalah yang paling banyak menyumbang kepada permasalahan hubungan. “Bila dah tak ada masa sangat, macam mana kami nak cuba mengenali diri masing-masing secara mendalam?” katanya. 

Tak propa 

Sebagai seorang artis yang menjadi tontonan umum, bohonglah kalau kita katakan Adira tidak dilanda dengan gosip mahupun kontroversi. Sebelum ini pun sudah bermacam-macam isu terkena pada dirinya. Hendak lari bimbang dituduh penakut. Hendak berhadapan, perit pula rasa di hati. Demikianlah lumrah kehidupan di atas pentas hiburan. Kalau tak kuat ditembus dugaan, anda dinasihatkan untuk lupakan sahaja hasrat menempa nama sebagai artis. Apalagi memasang angan untuk menjadi primadona. Lebih kurang begitulah gambarannya. 

Melemparkan pandangan peribadi, kata Adira, untuk menangani satu-satu isu, dia lebih suka memegang prinsip untuk sentiasa berlaku jujur. Ini kerana, katanya, hanya kejujuran yang mampu membantu seseorang artis itu untuk berada lebih lama dalam industri. “Ada baik buruknya satu-satu gosip itu. Ia boleh naik dan menjatuhkan seseorang artis. Namun asalkan kita jujur dengan apa yang dilakukan, rasanya itu lebih baik. “Biasanya, saya tak akan ambil hati sangat dengan satu-satu gosip itu selagi ia tidak melampau. “Macam ibu saya selalu pesan, biarlah apa orang nak cakap, yang penting saya tahu diri saya dan jangan cepat melenting,” katanya sambil melawak. 

Suka si rambut singa

Masih tersenyum walau berjam-jam dirinya `diikat’ Pancaindera sepanjang penggambaran berlangsung, Adira tidak merungut. Melihatkan pada moodnya yang ceria, diaju pula soalan mengenai kolaborasinya dengan Hafiz melalui lagu runut bunyi untuk filem Ombak Rindu yang hangat diperkatakan semua orang ketika ini. Gadis berbintang Virgo ini mengaku bahawa dia cukup suka menjadi pasangan duet Hafiz untuk lagu tersebut.

“Bukanlah mahu mengampu, tapi sejujurnya saya memang suka berduet dengan dia. Secara peribadi, saya rasa dia amat berpotensi untuk pergi lebih jauh dan dia adalah idola saya,” katanya. 

Mengulas lanjut mengenai Ombak Rindu, kata Adira dalam ketawa, dia tidak menyangka baik filem mahupun lagu duetnya bersama Hafiz itu mampu memberi kesan yang besar. “Saya mengaku dulu memang kurang gemar membaca novel. Macam dah jadi satu tabiat, saya akan membaca secara lompat-lompat. “Saya akan baca bahagian awal, bahagian tengah dan pengakhiran novel sahaja sebab saya malas nak baca buku yang tebal. “Tapi itu tak bermakna saya tak tahu mengenai Ombak Rindu. Saya tahu jalan ceritanya, sebab itu bila ditawarkan untuk menyanyi, saya terima. “Apa pun, pengalaman menyanyikan Ombak Rindu bersama Hafiz memang menyeronokkan,” katanya meletakkan noktah. 

Source : www.utusan.com.my

No comments:

Related Posts with Thumbnails