Friday, January 27, 2012

Projek Khas bersama Muzium Negeri Pahang




KESERASIAN yang ada antara Hafiz dan komposer terkenal, Ajai sudah terjalin lama hingga kerjasama mereka menerusi lagu Noktah Cinta berjaya menerima pelbagai pengiktirafan.
Lantas tatkala komposer berbakat besar itu sedang sibuk menguruskan projek khasnya bersama Muzium Negeri Pahang, nama Hafiz menjadi pilihan utama bagi menyanyikan lagu tema institusi kesenian negara itu.
Hafiz dipilih menyampaikan lagu Kita Satu yang dicipta melodinya oleh Ajai dan liriknya ditulis Pengarah Lembaga/Kurator Muzium Negeri Pahang, Ahmad Farid Abd Jalal.

Kita Satu akan dimuatkan dalam album khas sempena sambutan Hari Muzium Antarabangsa yang kebetulan disambut di Pahang pada tahun ini. Lantas album itu akan dijadikan material istimewa Muzium Negeri Pahang, selain menjadi bahan rujukan tetamu yang diundang nanti.

Jelas Hafiz, peluang bekerjasama dengan pihak muzium adalah satu lagi profil positif buatnya.

“Saya berbesar hati apabila diberitahu mengenai projek khas ini dan kembali bekerjasama dengan abang Ajai yang sememangnya cukup saya hormati. Mana tidaknya, ini adalah pertama kali saya berpeluang bekerjasama dengan pihak kerajaan negeri seperti ini dan menyampaikan sebuah lagu yang akan dijadikan buah tangan istimewa Muzium Negeri Pahang.

“Jujurnya, Kita Satu adalah sebuah karya yang indah. Lagu ini bagai memberi inspirasi dan motivasi kepada sesiapa yang mendengarnya. Malah pertama kali mendengarnya, saya sudah tertarik kerana ia bagai menjadi satu lagi peningkatan dalam profil saya sebagai seorang penyanyi.

“Jarang sekali kita dapat mendengar sebuah lagu yang penuh dengan rasa semangat. Saya melihat kandungan tersirat yang ada dalam lagu ini jelas mencerminkan semangat perpaduan dan cintakan 1 Malaysia,” katanya.

Penggambaran klip video lagu ini dilakukan di sekitar bandar Diraja Pekan dan Tasik Chini, Pahang selama dua hari.

Tambah Hafiz, ini juga adalah satu pengalaman baru buat dirinya kerana berpeluang bekerjasama dengan barisan produksi muda dan pihak muzium sendiri yang tidak lekang menemaninya.

“Konsep dan pengarahan muzik video ini cukup menarik kerana latar belakangnya yang indah dan cukup menarik di bandar Pekan serta Tasik Chini. Saya sendiri pertama kali ke sini dan melihat sendiri keindahan dua lokasi yang menjadi pilihan utama. Selama dua hari di sini menyiapkan proses pembikinan muzik video ini, saya banyak menimba ilmu dan pengalaman baru.

“Saya sukakan hasil kerja tenaga produksi yang mana masing-masing kreatif dan bersungguh-sungguh terutama pengarahnya, Fakhrul Amin Ramli yang bijak bermain imaginasi. Saya selesa sepanjang bekerjasama dengan mereka yang berharap agar ada lagi projek-projek lain selepas ini,” katanya.

Lagu Kita Satu ini dirakamkan selama satu jam saja oleh Hafiz di studio Wake The Baby. Malah anak jati Kuching, Sarawak ini akan turut menyanyikan sebuah lagi lagu sentuhan komposer dan penulis lirik yang sama berjudul Matahari Tak Cukup Indah.
 

 


No comments:

Related Posts with Thumbnails