Friday, April 30, 2010

Pengalaman pertama yang menyeronokkan



HAFIZ mempersembahkan beberapa lagu di Rumah Kanak-Kanak Tengku Budriah pada program lawatan mesra Kami Prihatin, di Cheras, kelmarin.




KUALA LUMPUR 29 April - Seringkali masyarakat melihat peranan artis dan selebriti tidak lebih hanya untuk menghiburkan masyarakat.

Populariti yang dikecapi membuatkan mereka mendapat perhatian yang cukup meluas sehingga diangkat sebagai idola khususnya artis muda.

Namun, di sebalik limpahan glamor, artis juga seperti manusia lain yang memiliki keprihatinan terhadap insan yang kurang bernasib baik.

Ini diakui oleh tiga artis muda, Dafi, Ryzal Jaafar dan Hafiz yang berpeluang mengikuti lawatan ke Rumah Kanak-Kanak Tengku Budriah, Cheras, semalam.

Lawatan berkenaan diadakan sempena kempen Kami Prihatin anjuran Utusan Malaysia yang dilancarkan pada 8 April lalu.

Kunjungan mereka ternyata menceriakan lebih 100 kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun yang terdiri daripada mangsa dera dan terabai.

Bagi Dafi, 20, kunjungan kali pertama ke rumah tersebut benar-benar menyentuh hatinya apabila memikirkan nasib yang menimpa kanak-kanak di rumah itu.

Kadang-kala dia sendiri tertanya apakah dosa kanak-kanak tersebut sehingga diabaikan tanpa belaian kasih sayang daripada ibu bapa dan keluarga.

"Bagi saya, perkara sebegini tidak seharusnya terjadi dalam dunia serba moden hari ini dan sebagai artis muda, saya bangga kerana berpeluang bertemu dan beramah mesra dengan mereka.

"Bukan sekadar untuk menghiburkan mereka, tetapi kehadiran kami juga mahu memberi motivasi dan sokongan moral untuk mereka meneruskan kehidupan.

"Saya ucapkan terima kasih kepada Utusan Malaysia kerana menjemput untuk melibatkan diri dalam kempen murni ini dan saya benar-benar berbesar hati," kata Dafi atau nama sebenarnya, Gadaffi Ismail Sabri.

Bekas bintang Akademi Fantasia musim kelima itu juga berharap dengan penglibatan artis muda sepertinya untuk kempen amal seperti itu dapat mengubah tanggapan skeptikal masyarakat.

Sementara itu, bagi pelakon drama bersiri Hotel Mania, Mohd. Shahrizal Jaafar atau lebih dikenali sebagai Ryzal Jaafar, 27, dia teruja apabila diberitahu dapat mengikuti lawatan ke rumah kebajikan tersebut.

Apatah lagi, ia merupakan pengalaman pertamanya dalam aktiviti amal seperti itu dan bangga apabila peluang itu diberikan kepada artis baru sepertinya.

"Dalam bergembira dapat bertemu dengan mereka, hati saya terusik apabila merenung wajah yang menyimpan duka yang tidak tertanggung.

"Saya berasa insaf apabila memikirkan nasib dan keadaan mereka yang tidak sama dengan kanak-kanak lain di luar sana.

"Seandainya diberi peluang sekali lagi untuk mengikuti program seperti ini, saya pasti tidak akan menolaknya," ujar Ryzal lagi.

Juara Akademi Fantasia musim ketujuh, Hafiz, 20, pula berpendapat kunjungannya kali pertama ke rumah perlindungan itu memberi satu pengalaman berbeza untuknya sebagai artis baru.

Malah, Hafiz berkata, ia juga adalah sesuatu yang cukup menyeronokkan apabila dapat bermesra dan mendekati kanak-kanak yang kurang bernasib baik itu.

"Peluang mendekati kanak-kanak itu membolehkan saya menyelami hati dan perasaan mereka yang orang di luar sana mungkin tidak dapat memahaminya.

"Secara lahiriah, mereka nampak gembira kerana dikelilingi oleh rakan-rakan sebaya tetapi kita tidak sedar mereka sebenarnya mahukan kasih sayang daripada keluarga sendiri.

"Sebagai artis baru, saya amat berbesar hati diberi peluang sebegini dan sumbangan kecil kami ini diharap mampu menyuntik semangat untuk kanak-kanak ini," ujar Hafiz atau nama sebenarnya, Mohd. Hafiz Mohd. Suip.

Selain mereka, antara artis yang turut serta dalam lawatan itu ialah Afdlin Shauki, Erra Fazira, Nurul, Sofia Jane, Umie Aida, Zoey dan Abby Fana.

Kempen Kami Prihatin yang turut mendapat kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Astro dan Karyawan itu bertujuan menyemai kesedaran masyarakat terhadap isu penderaan kanak-kanak dan pembuangan bayi.

Source : Utusan Malaysia Online, 30th April 2010

No comments:

Related Posts with Thumbnails