Thursday, April 15, 2010

Tapak Permulaan Hafiz dan Aril




DUA penyanyi yang bakatnya terserlah sejak menyertai pertandingan realiti Akademi Fantasia (AF) ini boleh disifatkan bernasib baik kerana mempunyai peminat yang ramai. Bahkan lagu-lagu dendangan mereka turut mendapat perhatian di kalangan peminat.

Baik Hafiz mahupun Aril, jenama AF membantu kerjaya seni mereka dalam mencari tapak yang lebih luas.

Demi kerjaya seni, dua anak muda ini yakin mampu memberikan saingan yang sihat di bidang seni suara.

Biarpun kerjaya seni mereka masih hijau, namun Hafiz dan Aril telah diberi kepercayaan oleh pihak Astro Entertainment Sdn. Bhd. (AESB), menghiburkan peminat dalam Konsert Muzikal yang dijangka bersiaran selama 30 minit di Astro Ria (saluran 104, Astro) bulan depan.

Pada sesi rakaman konsert tersebut di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini, Hafiz dan Aril masing-masing menghiburkan peminat menyanyikan sebanyak lima buah lagu.

Dianjurkan khusus untuk siaran Astro, peminat hiburan amnya berpeluang melihat persembahan secara 'live' oleh penyanyi kesayangan mereka.

Berkonsepkan santai, ia sebagai medan bagi artis-artis muda kelahiran Astro sendiri untuk mengendalikan konsert sendiri dengan lagu-lagu hit yang dipopularkan oleh mereka.

Apa yang pasti, rakaman itu juga memungkinkan ia diterbitkan dalam bentuk klip video khas buat tontonan penonton setia Astro.

Hadir dengan imej rambut pendek, Hafiz yang memakai kemeja putih dan berseluar kelabu menerima tepukan gemuruh daripada peminatnya yang bagaikan tidak sabar menyaksikan persembahan penyanyi yang berasal dari Sarawak itu.

Di hoskan oleh Aril, Hafiz memulakan tirai persembahannya dengan mempersembahkan lagu hitnya, Masih jelas.

"Ini satu platform buat saya untuk terus mendekati peminat. Bukan mudah mengendalikan konsert sendiri apatah lagi saya masih baru di bidang nyanyian.

"Apa yang pasti peluang ini saya cuba gunakan sebaik mungkin sebagai proses pembelajaran buat saya mengadakan pelbagai persembahan di masa akan datang," kata Hafiz.

Berdasarkan persembahan Hafiz pada sesi rakaman tersebut, jelas mutu vokalnya tidak terganggu biarpun berhadapan dengan sorakan daripada peminatnya.

Selain Masih Jelas, empat lagi lagu yang dinyanyikan oleh Hafiz ialah Ku Akui, Nokhtah Cinta, Awan Nano dan Watak.

Mengulas imej barunya, kata Hafiz, dia terpaksa memotong rambutnya yang selama ini begitu digemari ramai lantaran sering mengalami kerosakan rambut yang ketara.

"Bukan kerana nak tukar imej tetapi sebab rambut saya ada masalah dan mengalami kerosakan. Insya-Allah saya akan simpan kembali rambut saya agar panjang seperti sebelum ini," kata Hafiz.

Berbalik pada rakaman konsert tersebut, Aril yang turut sama membuat rakaman Konsert Istimewa Bersama Aril pada hari yang sama muncul dengan imej ala Korea menghiburkan peminatnya yang hadir selepas tamat program Debaran AF baru-baru ini.

Dihoskan oleh penyampai Era FM, Reza, tirai persembahan Aril dibuka dengan lagu dari siri drama muzikal popular Astro, Kau & Aku iaitu Menatap Matamu.

Mencari kelainan, persembahan Aril lebih menarik apabila tampil menyampaikan lagu Jawab diiringi muzik akustik petikan gitar oleh Amar, Anak Wayang.

"Saya akui gementar membuat persembahan di hadapan penonton secara live. Biarpun ia adalah rakaman, namun ada ketika rasa seperti belum bersedia sepenuhnya.

"Apabila ditawarkan oleh Astro untuk mengendalikan konsert mini sendiri, saya rasa inilah masa yang terbaik untuk saya mengumpul pengalaman.

"Secara tidak langsung segala pengalaman dan pembelajaran yang saya lalui dalam AF terimbas semula.

"Biarpun sedikit malu, tetapi Alhamdulillah segalanya berjalan lancar," kata Aril.

Aril turut menyampaikan beberapa lagi lagu termasuk lagu baru ciptaan Audi Mok, Merdeka, Biar Begini dan Semua Tak Sama.

Selain sibuk menjalani aktiviti nyanyian, Aril kini turut mengendalikan rancangan hiburan popular Astro, Trek Selebriti.

Tidak mahu dibayangi pengacara asal rancangan itu, Jimmy Shanley, kata Aril dia ada cara tersendiri dalam mengendalikan rancangan tersebut.

"Saya rasa saya sudah jauh menyimpangkan pemikiran penonton untuk merasakan saya dibayangi Jimmy sepanjang mengendalikan Trek Selebriti.

"Apa yang boleh saya katakan, setakat ini saya tidak boleh nak berpuas hati sebab saya sendiri masih lagi baru dalam bidang ini," kata Aril lagi.


Source : Utusan Malaysia Online, 15th April 2010

No comments:

Related Posts with Thumbnails