Tuesday, June 29, 2010

KERANA TEATER, HAFIZ PATAH TANGAN!



Teks oleh Razif Rosdi

KUALA LUMPUR, 29 JUN 2010: Sewaktu menjayakan teater muzikal Kita di Istana Budaya baru-baru ini, juara Akademi Fantasia 7 (AF7), Mohd Hafiz Suip atau Hafiz, 20, yang diangkat sebagai hero teater berkenaan telah ditimpa kemalanganhingga menyebabkan pergelangan tangan kanannya patah.

Mengesahkan perkara ini kepada murai.com.my, Hafiz yang kini masih terlibat dengan sesi rakaman promo hari raya yang turut disertai beberapa selebriti Astro mengakui bahawa pergelangan tangan kanannya bukan saja patah tetapi dibalut simen.

"Ya. Tangan kanan Hafiz memang patah iaitu di bahagian pergelangan tangan. Sebenarnya, Hafiz terjatuh masa tengah buat persembahan teater muzikal Kita l untuk hari yang ketujuh pada 24 Jun yang lalu.

"Waktu itu, persembahan kami dihentikan sementara waktu untuk sesi rehat selama 15 minit sebelum disambung ke persembahan seterusnya. Tak silap Hafiz, waktu itu dah pun pukul 9 malam. Kebetulan Hafiz pun dah tak tahan nak buang air dan terus saja bergegas meluru masuk ke tandas.

"Sebaik saja tiba tandas, Hafiz dapati tandas berkenaan dalam keadaan licin kerana baru saja dibersihkan. Jadi, dalam keadaan nak cepat, Hafiz pun jatuh tergelincir dan hampir tersembam kat muka. Nasib baiklah tangan Hafiz yang lebih dulu menahannya. Kalau tidak, mungkin dengan kepala Hafiz sendiri yang tercedera dan berdarah. Mungkin juga keadaan jadi lebih teruk.

"Selepas terjatuh tu, Hafiz ada rasa sangat sakit tapi tak sedar pula tangan Hafiz sebenarnya dah patah. Hafiz tetap meneruskan persembahan pada malam itu juga dan Hafiz terus menahan kesakitan selama satu jam 45 minit. Hafiz menahan sakit sebab Hafiz tak mahu timbulkan masalah pada pihak produksi. Sebaik saja tamat persembahan, tangan Hafiz makin membengkak dan krew Istana Budaya terus bawa Hafiz pergi ke Hospital Pusrawi, Kuala Lumpur," katanya.

Meneruskan ceritanya dengan lebih lanjut, Hafiz berkata, sekarang ini doktor telah menasihatkan dia agar berehat seketika dan tidak melakukan kerja-kerja berat.

"Dalam waktu terdekat ini, Hafiz kena buat pembedahan untuk masukkan besi dalam tangan Hafiz. Berkemungkinan besar, Hafiz akan jalani pembedahan tersebut di Kuching. Hafiz agak seram sejuk juga nak buat pembedahan di sini sebab famili Hafiz ada kat Kuching.

"Setakat ini, doktor cakap Hafiz kena pantang dari membuat kerja-kerja berat selama lebih kurang 2 hingga 3 bulan. Pun begitu, Hafiz masih lagi pergi menghadiri mana-mana undangan show yang melibatkan Hafiz," katanya.

Menyentuh tentang penglibatannya dalam teater muzikal Kita,Hafiz menjelaskan, dia sangat seronok apabila menjayakan teater muzikal tersebut. Malah, pengalaman berlakon teater ini mengingatkan Hafiz kembali saat dia masih merangkak mencari ilmu dalam AF7.

"Banyak perkara yang Hafiz belajar. Hafiz dapat asah lagi bakat dalam bidang lakonan, nyanyian dan tarian. Bagi sesiapa yang terlepas untuk menyaksikan lakonan Hafiz dalam teater ini, anda boleh dapatkan DVD yang telah pun berada di pasaran.

"Selepas teater ini, Hafiz akan sibuk dengan rakamkan single baru Hafiz. Lagu tersebut adalah hasil nukilan Hafiz sendiri. Tajuk single itu masih belum boleh diumumkan kerana semuanya masih dalam perancangan. Hafiz pun teringin juga nak kembangkan lagi sayap Hafiz sebagai komposer," katanya.

Source : www.murai.com.my

1 comment:

MUNIRA AZME said...

Get well soon HAFIZ!

Related Posts with Thumbnails