Saturday, June 19, 2010

Najib tonton teater 'Kita' di Istana Budaya

2010/06/18
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, malam ini menonton persembahan teater muzikal "Kita" di Istana Budaya.

Persembahan satu jam setengah itu turut disaksikan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, dan isteri, Datin Seri Masnah Rais, serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, yang juga penasihat kehormat persembahan.

Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T Murugiah, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Abu Seman Yusop, dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan.

Teater muzikal berkonsepkan 1Malaysia itu yang bermula semalam dan akan berlangsung sehingga 27 Jun ini, dipersembahkan sempena ulang tahun Najib sebagai Perdana Menteri.

Teater anjuran Xi Yue Art and Culture dengan kerjasama Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan serta Istana Budaya dan diarahkan oleh Ho Lin Huay itu disenaraikan dalam Malaysia Book of Records kerana mempunyai pelakon pelbagai bangsa paling ramai bagi sebuah teater muzikal.

Antara barisan artis tanah air yang menjayakan persembahan tersebut ialah Datuk Jalaluddin Hassan,
Hafiz AF7, Nas Adila, Eric Lin dan Michael Rao. Teater itu mempunyai hampir 60 pelakon berbilang bangsa.

Teater muzikal "Kita" mengisahkan kehidupan tiga kanak-kanak - Rahman, Cheong dan Amish - yang tinggal di sebuah ladang getah di Teluk Intan, Perak sekitar awal 1970-an yang menempuh proses kematangan bermula sejak zaman persekolahan dan melalui kehidupan serta budaya yang berbeza sehingga mengecapi kejayaan.

Pada majlis itu, Najib turut menerima sijil daripada wakil Malaysia Book of Records untuk diserahkan kepada Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, tanda pengiktirafan terhadap persembahan tersebut. - BERNAMA

No comments:

Related Posts with Thumbnails