Tuesday, August 24, 2010

Melodi Raya 2010 satukan artis lama, baru

Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my
2010/08/23    

HARI kemenangan umat Islam iaitu Aidilfitri tinggal 17 hari saja lagi.
Namun, suasana kemeriahan hari raya sudah dapat dirasai sebaik melangkah ke Dewan Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang menjadi lokasi pilihan rakaman Melodi Raya 2010 pada Jumaat lalu.

Rata-rata hadirin yang datang baik lelaki mahupun perempuan terdiri daripada selebriti tempatan, penaja dan wakil media, semuanya menggayakan busana tradisional baju Melayu, kurung dan jubah yang menjadi trend masa kini.

Dekorasi dan hiasan dewan yang dipenuhi cahaya bersama pelita membuatkan terlupa sebentar yang kita masih di bulan Ramadan. Begitulah kegigihan pihak Melodi untuk mencetuskan suasana perayaan yang sebenar.

Azman Abdul Ghafar, selaku penerbit Melodi Raya 2010 episod satu, berkata, anggaran kos untuk melaksanakan rakaman program istimewa itu berjumlah RM150,000. “Kos keseluruhan dianggarkan RM150,000. Bagaimanapun, saya mewakili pihak produksi dan TV3 ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga buat pihak PWTC kerana banyak membantu kami secara tidak langsung untuk mengurangkan kos,” katanya yang ditemui sejurus selepas majlis.

Sebagaimana diketahui umum Melodi Raya program tahunan dan tentu saja pelbagai kelainan cuba ditampilkan dalam pengisian program bagi mengekalkan kehangatannya. Berbeza dengan tahun sebelumnya, Melodi Raya 2010 memperkenalkan dua episod khas di mana episod satu menyaksikan himpunan penyatuan artis daripada pelbagai generasi bermula 60-an, 70-an, 80-an hingga sekarang.

Manakala Melodi Raya episod dua pula, pengacara program itu, Wahid dan Fara Fauzana termasuk Skuad Melodi yang terdiri daripada wartawan penyiarannya Michelle Wee, Azmi Jamsari, Azwan Azmi, Nik Shafiq Hadhari dan Nurul Izza akan berkunjung ke rumah terbuka artis.

Lima lokasi dikunjungi iaitu rumah terbuka peminat setia Melodi, rumah terbuka artis Metrowealth, Warner Music, penerbit filem terkenal A Razak Mohideen. Selain itu, Melodi Raya Episod dua juga memaparkan suasana kemeriahan kumpulan Kotak dari Indonesia yang mengunjungi rumah terbuka Sofaz. Untuk episod kedua, Nas Ahmad bertindak selaku penerbit. “Mengikut perkiraan Melodi Raya episod dua jatuh pada hari raya ke-10. Biasanya, pada minggu itu kebanyakan orang mengadakan rumah terbuka.

“Justeru konsep ‘rumah terbuka’ yang diketengahkan Melodi amat bertepatan dengan budaya rakyat Malaysia.

“Pembahagian dua episod ini kali pertama diadakan dan kami berharap ia dapat meningkatkan rating Melodi dan sekiranya berjaya, konsep sebegini kemungkinan dikekalkan untuk tahun akan datang,” kata Azman.

Berbalik pada Melodi Raya episod satu yang ditanganinya, konsep yang diketengahkan adalah revolusi muzik dari zaman 60-an hingga sekarang.

Sejak bersiaran pada 1992, Melodi menyajikan pelbagai topik menarik dan sensasi dalam industri hiburan. Pun begitu, pengisian program berkenaan tidak pernah lupa kepada golongan artis lama yang banyak menabur bakti kepada industri seni.

“Mereka tidak hanya diundang, tetapi turut diberikan peluang untuk beraksi di pentas. Paling menarik artis lama serta yang baru turut bergandingan menyampaikan lagu nostalgia yang diberi nafas baru.

“Pada peringkat perbincangan kami menetapkan konsep persembahan artis secara solo mengikut era masing-masing. Namun, ‘tribute’ kepada artis lama menjadi satu matlamat kami sempena penganjuran Melodi Raya kali ini, maka timbul idea untuk menggandingkan artis baru dan lama menyampaikan lagu secara duet.

“Secara tidak langsung dapat memberi peluang kepada artis baru mengenali lebih dekat artis lama,” katanya. Azman menambah jika tahun sudah hanya lapan artis membuat persembahan sebaliknya tahun ini seramai 23 artis terbabit.

Dihoskan Wahid dan Fara Fauzana, Melodi Raya episod satu turut dikendalikan Didie Alias sebagai pengacara majlis.

Rakaman itu menghimpunkan lebih 50 artis antaranya Datuk Siti Nurhaliza, Datuk A Rahman Hassan, Datuk Jeffry Din, Shamrin (Fotograf), Rahim Maarof, Baggio, Anuar Zain, Adibah Noor, Bandi Amuk, Latif Ibrahim, Ramlah Ram, Hattan, Zamani Slam, Dayang Nurfaizah, Faradhiya, Raihan, Stacy, Azlan The Typewriter, Tomok, Mohd Mentor, Ayu OIAM, Shila OIAM termasuk band popular Sofaz, Pesawat dan Nico selaku jemputan khas.

Jika semua nama yang disebut adalah penyanyi, pelakon terkenal juga tidak melepaskan peluang memeriahkan lagi acara ini.

Mereka termasuk Lisa Surihani, Eira Syazira, Azad, Iqram Dinzly, Rosnah Mat Aris dan Azizah Mohd.

Menyingkap perjalanan rakaman itu, hadirin dihiburkan dengan persembahan Wahid dan Fara Fauzana dengan lagu Cari Jodoh.

Antara lagu didendangkan, Tak Mengapa oleh Datuk A Rahman Hassan bergandingan dengan Tomok. Kenangan Ku dan Mas Mona (Datuk Jeffry Din/Lan Kristal), Syurga Idaman dan Selamat Hari Raya (Azizah Mohd/Shila OIAM), Pandang Memandang (Latiff Ibrahim dan Stacy), Jika Sayang Kata Sayang (Noreen Nor/Hafiz AF7), Mekarlah Kembali serta Kepulangan Yang Dinanti (Aman Shah/Mohd Mentor).

Persembahan diteruskan dengan nyanyian artis 80-an dan 90-an iaitu Saleem dan Azlan The Typewriter menyampaikan lagu Suci Dalam Debu/Trilogi, Ramlah Ram dan Shila OIAM (Diam Diam Jatuh Cinta), Ramlah Ram dan Mohd Mentor (Bila Aidilfitri Kembali), Hattan (Keroncong Untuk Ana), Zamani (Kembali Terjalin/Kembali Merindu), Datuk Siti Nurhaliza (Jerat Percintaan/Sesuci Lebaran), Nico (Inilah Nasibku) dan Dayang Nurfaizah Seandainya Masih Ada Cinta).

Sesi rakaman itu dirancakkan lagi dengan persembahan Stacy menerusi lagu Jahat, Anuar Zain (Ketulusan Hati), Noktah Cinta (Hafiz) dan Azlan The Typewriter (Gerak Hatti) sebelum semua artis kembali semula ke pentas menyampaikan lagu Selamat Hari Raya.

Tidak terbatas pada acara nyanyian saja, episod satu turut menyiarkan paparan audio visual iaitu Melodi selepas 17 tahun dan Belasungkawa serta nyanyian syahdu oleh kumpulan Raihan dengan lagu I’itiraf. Rakaman itu diserikan lagi dengan kehadiran Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan; Ketua Pegawai Eksekutif PWTC, Maxson Abdullah H Jaafar dan Pengarah Eksekutif PWTC, Datuk Rauf Yusoh.

Turut kelihatan Datuk Seri Khalid Muhd Jiwa yang juga suami kepada Datuk Siti Nurhaliza.

No comments:

Related Posts with Thumbnails