Friday, March 16, 2012

HAFIZ, HAZAMA DI SUNGAI PETANI


Oleh Fatin Farhana Ariffin
bhhibur@bharian.com.my
2012/03/16


Jelajah ABPBH2011 turut adakan aktiviti meraikan anak yatim

PENYANYI lagu Awan Nano, Hafiz dan Hazama yang semakin popular dengan lagu Cinta Teragung ialah antara calon Top 5 Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011 yang bakal muncul pada siri jelajah promosi di kompleks beli-belah Village Mall, Sungai Petani, Kedah, esok, jam 2.30 petang.

Turut hadir ialah Bintang Paling Popular ABPBH2010, Shaheizy Sam, Fasha Sanda, Adi Putra, Shila Amzah, Izara Aishah, Johan As’ari, Fizz Fairuz, Black, Tasha Shilla, Along Cham, kumpulan One Nation Emcees, Forteen dan penyanyi yang kini popular dengan lagu Cinta Muka Buku serta Carta Hati, Najwa Latiff.
Menghangatkan lagi suasana di Village Mall ialah kemunculan tiga penyampai sensasi radio Hot FM, Faizal Ismail, Fara Fauzana dan AG.

Pengurus Pemasaran dan Promosi ABPBH2011 daripada Orange Octopus, Mas Ayie Mas Omar, berkata ABPBH ialah satu-satunya acara yang mendekatkan artis dengan peminat di seluruh negara. Ia juga peluang untuk finalis menunjukkan penghargaan mereka terhadap peminat yang mengundi mereka selama ini.

“Siri jelajah di Sungai Petani akan dihadiri ramai finalis dan tiada acara yang lain diadakan seperti ABPBH. Oleh itu, inilah peluang keemasan untuk peminat menemui artis kegemaran mereka dengan lebih dekat lagi.

“Kali ini, aktiviti istimewa yang kami akan adakan termasuk konvoi artis bersama kenderaan pacuan empat roda pada 16 Mac, yang diketuai kelab Chenderoh Off Road 4x4. Mereka berkonvoi dari hentian Rehat dan Rawat (R&R) Bukit Gantang ke Bukit Merah, juga bersama bas rasmi ABPBH untuk bertemu dengan anak yatim.

“Di situ artis akan menggunakan kesempatan untuk beramah mesra bersama kanak-kanak daripada rumah anak yatim Sultan Abdul Aziz Kuala Kangsar dan di sana nanti penyampaian cenderamata juga akan diadakan khas buat mereka,” katanya.

Seperti di siri jelajah sebelum ini, pada keesokan harinya, 17 Mac, pengunjung turut berpeluang menaiki kereta tajaan Edaran Tan Chong Motor bersama artis kegemaran masing-masing.

Sempena siri jelajah di Village Mall juga, pengunjung boleh mendapatkan barangan eksklusif ABPBH, selain merakam gambar bersama artis kesayangan mereka, yang dicetak khas dengan logo ABPBH.

Lebih menarik, pengunjung yang datang ke lokasi siri jelajah dengan mengikut tema, iaitu ‘Big, Bold and Silver’, akan membawa pulang hadiah istimewa tajaan LUX. Pemenang akan dipilih berdasarkan pakaian tercantik.

Manakala, orang ramai yang mempunyai bakat dalam masakan boleh menyediakan kek ulang tahun dengan kreativiti tersendiri dan pemenang akan berpeluang untuk makan malam bersama artis.

Manakala peminat di Utara yang ingin menyerahkan borang undian ABPBH2011 secara terus kepada penganjur, mereka boleh berbuat demikian di lokasi acara pada kedua-dua hari siri jelajah berlangsung.

Sebelum itu, sesiapa yang berminat untuk bergelar penyanyi, jangan melepaskan peluang menyertai Bintang Idola Berita Harian (BIBH) yang akan diadakan pada Jumaat, 16 Mac, mulai jam 10 pagi.




No comments:

Related Posts with Thumbnails