Friday, January 22, 2010

Muka Baru Kuasai Pencalonan ABPBH09



Muka Baru Kuasai Pencalonan ABPBH09
20-Jan-2010 Oleh: Thani Hasbullah

Teks oleh Thani Hasbullah
Foto oleh Mazlan Yunos


KUALA LUMPUR, 20 JANUARI 2010: Senarai 5 finalis Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009 (ABPBH2009) menyaksikan ramai muka-muka baru tercalon melalui 16 kategori yang dipertandingkan.

Acara kemuncak anugerah berprestij itu dijadualkan berlangsung pada 4 April ini bertempat di Arena of Stars, Genting Highlands, selepas acara siri jelajah di 4 lakosi terpilih.

Berdasarkan senarai tersebut, kategori Penyampai Radio Lelaki dan Penyampai Radio Wanita dilihat masih didominasi oleh penyampai lama seperti Aznil Nawawi, Faizal Ismail, Kieran, Abby Fana, Fara Fauzana, Nana, Linda Onn dan Sharifah Aleya.

Bagaimanapun bagi kategori lain terutama Penyanyi Lelaki dan Wanita, ia menyaksikan Mawi dan Datuk Siti Nurhaliza yang masih kekal tercalon dalam kategori tersebut.

Menurut Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd, Datuk Meor Kamarul Shahid, tamparan hebat kepada artis sedia ada, dengan kedatangan penyanyi atau pelakon baru pada masa kini sudah menjadi lumrah dunia hiburan.

"Dunia hiburan dan kehidupan popular tidak boleh dipisahkan. Ketika masyarakat dan peminat menyokong kerjaya anda, mereka menyanjungi dan menyukai anda. Apabila mereka sudah tidak minat dan tidak suka lagi, anda akan dilupai dan mungkin tidak lagi dihiraukan.

"Ini adalah realiti dunia hiburan sejak dulu malah sejak artis zaman era 1950an lagi. Kita boleh melihat kehidupan glamor seseorang artis, bintang filem, biduan atau penyanyi hebat tidak akan popular sepanjang hayat mereka," katanya pada sidang media, Royal Ballroom, Hotel Palace of The Golden Horses, petang tadi.

Empat siri jelajah akan dijalankan di Village Mall, Sungai Petani, Kedah (5&6 Mac 2010), Mesra Mall, Kemasek, Kemaman, Terengganu (12&13 Mac 2010), Plaza Angsana, Johor Bahru (20&21 Mac 2010) dan Dataran Pahlawan Melaka Mall, Melaka (27&28 Mac 2010).

Bintang Paling Popular ABPBH2009 bakal memenangi hadiah berupa sebuah kereta Nissan X-Trail 2.0L bernilai RM130,000 tajaan Tan Chong Motor Sdn Bhd, perabot bernilai RM30,000 tajaan Empire Classics Furniture dan pakej penginapan mewah 3 hari 2 malam di Hotel Palace of The Golden Horses.

Pemenang bagi setiap kategori bakal membawa pulang hadiah berupa perabot Empire Classics Furniture bernilai RM5,000 dan kad ganjaran oleh Hotel Palace of The Golden Horses.

Borang pencalonan akhir ABPBH2009 akan mula dikeluarkan akhbar Berita Harian/Berita Minggu bermula 22 Januari ini. Ia membolehkan pembaca memilih artis kegemaran masing-masing menerusi 16 kategori yang dipertandingkan. Pembaca turut berpeluang membuat undian melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS).

Source : Murai.com.my

No comments:

Related Posts with Thumbnails