Monday, December 16, 2013

Hafiz: Kemenangan Ini Bukan Milik Saya Saja


Hafiz Suip mengungguli Anugerah Industri Muzik ke-20 (AIM 20) dengan membawa pulang tiga anugerah pada acara yang diadakan di Stadium Putra Bukit Jalil pada malam Sabtu.

Penyanyi berusia 23 tahun itu menerima anugerah Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki) menerusi "Bahagiamu Deritaku", Rakaman Album Terbaik dan Album Terbaik menerusi album 'Luahan Hati Anak Seni'.

“Syukur ke hadrat Ilahi. Saya merasakan kemenangan ini bukan milik saya saja tetapi semua pihak yang banyak menyokong saya seperti keluarga, rakan-rakan dan terutamanya Hafiz FC. Alhamdulillah, rezeki berpihak kepada saya malam ini tetapi tidak dinafikan persaingan begitu sengit,” kata Hafiz ketika ditemui di sidang media AIM 20.


Pemuda kelahiran negeri Sarawak ini menganggap kemenangan kali ini sebagai memori yang begitu manis buat dirinya. Dia sama sekali tidak menyangka yang rezeki berpihak kepadanya malam ini.

“Bila dapat tahu saya menang untuk kategori pertama (Rakaman Album Terbaik), saya merasakan ia seperti satu keajaiban. Itulah orang kata rezeki. Namun saya tidak mahu kemenangan ini membuatkan saya leka, sebaliknya sebagai cabaran untuk memberikan lebih baik,” katanya.


Hafiz turut berkongsi yang dia mengamalkan petua yang diajar oleh arwah neneknya iaitu untuk minum air masak sebaik sahaja bangun tidur bagi menjaga suara. Dia tidak menafikan sebagai penyanyi sememangnya menjadi tanggungjawab untuk memastikan vokal dijaga dengan baik.

“Saya tidaklah terlalu menjaga makan sebaliknya mengamalkan minum air masak dengan banyak. Malah ketika berada di Jakarta saya ada belajar petua di mana ada yang menyarankan agar minum limau dan kicap. Itu merupakan satu pengalaman baru buat diri saya,” kata Hafiz mengakhiri perbualan.

Source : http://www.gua.com.my

No comments:

Related Posts with Thumbnails