Tuesday, December 17, 2013

KEMUNCAK PENCAPAIAN HAFIZ


KEJAYAAN demi kejayaan telah diraih oleh anak muda kelahiran bumi Sarawak ini. Selepas dinobatkan sebagai juara rancangan pencarian bakat popular, Akademi Fantasia musim ketujuh beberapa tahun yang lalu, Hafiz Suip, 23, seperti enggan berhenti menambah jumlah anugerah dan pengiktirafan menambah portfolio pencapaiannya dalam bidang muzik.

Sabtu lalu, penyanyi berbintang Pisces ini sekali lagi mencipta sejarah tersendiri selepas buat julung kalinya berjaya mengungguli Anugerah Industri Muzik ke-20 (AIM20) dengan membawa pulang tiga anugerah iaitu Album Terbaik, Rakaman Album Terbaik dan Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki).

Bagaimanapun, kejayaan yang diterima oleh Hafiz sedikit sebanyak memberikan impak terhadap hasil kerjanya pada masa akan datang. Meraih pelbagai anugerah menuntut pelbagai usaha untuk mengekalkan skala persembahan agar jangkaan penggemar dapat dipenuhi.

Anugerah sebagai motivasi

Menjadi kurang enak jika pengiktirafan yang diberikan tidak setimpal dengan apa yang peminat harapkan. Akui Hafiz, apa yang diterima setakat ini memberikannya motivasi dalam memberikan yang terbaik pada masa akan datang.

"Setelah memenangi banyak anugerah, saya perlu lebih fokus terhadap kerjaya. Saya juga jadikan segala pengiktirafan yang diterima sebagai cabaran untuk masa akan datang.


"Bayangkan setelah menerima anugerah-anugerah ini, saya membuat persembahan seperti melepaskan batuk di tangga. Pasti kemenangan saya akan dipertikaikan. Lebih banyak kemenangan yang kita kecapi, lebih tinggi jangkaan orang terhadap kita," ujar Hafiz yang menerima ketiga-tiga anugerah tersebut menerusi album keduanya, Luahan Hati Anak Seni.

Pelantun lagu Bahagiamu Deritaku itu turut menegaskan, apa yang penting adalah minat yang mendalam terhadap apa yang dilakukan.

"Saya percaya dengan niat yang betul dan keikhlasan ketika bekerja. Setiap pekerjaan yang dilakukan haruslah didahului dengan minat. Jika kita tahu apa yang kita lakukan, maka apa yang diusahakan akan berhasil," ujarnya lagi.

Berkongsi kemenangan

Ditebak dengan soalan mengenai kejayaan besarnya pada malam itu, Hafiz berkata, apa yang diterimanya bakal dikongsikan dengan orang lain.

"Kemenangan saya pada malam ini bukan sahaja untuk karier saya dalam bidang nyanyian, malah saya turut ingin berkongsi anugerah ini dengan calon-calon lain yang turut sama memperjuangkan seni muzik.

"Saya juga ingin berkongsi trofi-trofi kemenangan saya ini dengan para peminat yang tidak putus-putus memberikan sokongan kepada saya. Tetapi trofi ini biar saya simpan di rumah," seloroh jejaka yang pernah terkenal dengan imej rambut afronya suatu ketika dahulu.

Jaga suara

Sepanjang bergelar penyanyi, kualiti suaranya sering mendapat perhatian ramai. Ketika menyanyikan lagu Ku Akui pada Anugerah Juara Lagu 27, Hetty Koes Endang yang diundang sebagai juri jemputan pada ketika itu berdiri sepanjang dia melakukan persembahan. Hasilnya, dia dipilih sebagai penerima anugerah Vokal Terbaik pada malam itu.


Pada AIM20, vokal Hafiz sekali lagi diiktiraf menerusi lagu hitnya, Bahagiamu Deritaku. Tidak begitu menerapkan penjagaan khusus terhadap jagaan vokal, Hafiz berkata, dia hanya mengamalkan pengambilan air masak yang secukupnya setiap hari selepas bangun daripada tidur.

"Saya tidak berpantang dalam memilih makanan. Cuma, arwah nenek ada berpesan, air masak sangat bagus untuk kesihatan. Selain baik untuk vokal, air masak juga dikatakan baik untuk tubuh badan. Justeru, setiap kali selepas bangun tidur, saya akan meminum segelas air masak sebelum bersarapan," katanya.

Selain itu, Hafiz turut berkongsi petua pelik yang dipelajarinya ketika berada di Jakarta bagi untuk mengubati sakit kerongkong.

"Kicap pekat dan air perahan limau. Itu adalah resepi orang-orang di sana untuk mengubati sakit kerongkong. Setelah mencuba, ternyata cara tersebut memang berkesan," ujarnya sambil tersenyum.

Kerjasama dengan nama besar

Kekerapan kolaborasi antara Hafiz dan nama-nama besar bukanlah asing bagi para peminat. Awal tahun ini, dia muncul dengan single bertajuk Muara Hati bersama penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza. Beberapa bulan kemudian, Hafiz meluaskan legasi duetnya dengan Datuk Rossa menerusi lagu Salahkah.

Teruja dengan setiap kolaborasi dijayakannya, ujar Hafiz, peluang yang ada perlu dicapai jika mahu meluaskan sayap ke peringkat yang lebih tinggi.

"Secara jujur saya memang meminati Siti Nurhaliza. Mendapat peluang berduet dengannya merupakan peluang yang tidak akan saya lepaskan. Sementelah, dia merupakan idola saya dalam bidang nyanyian.

"Ketika diberi tawaran untuk menyanyi dengan Rossa pula, saya tidak berfikir panjang. Rossa juga merupakan figura yang prominen dalam industri hiburan di Indonesia. Lagipun peluang ini turut membuka pintu bagi saya untuk mengembangkan karier di sana," katanya.

Kurus bersebab

Sejak beberapa bulan yang lalu, penampilan fizikal Hafiz sedikit berbeza. Tubuhnya yang dulu sedikit berisi kelihatan susut dan imejnya pula lebih bergaya dengan potongan rambut baharu.

Akui Hafiz, sebagai seorang penghibur, dia harus mementingkan penampilan serta penjagaan kesihatan bagi memberikannya lebih keyakinan ketika melakukan persembahan.

"Saya mengamalkan diet yang seimbang serta sering pergi ke gim untuk melakukan senaman kardo. Tujuan saya menguruskan badan bukan kerana tuntutan kerjaya semata-mata.

"Ibu bapa saya penghidap diabetes. Tidak mustahil saya juga akan mendapat penyakit yang sama pada masa akan datang. Jadi, mungkin risiko menghidap penyakit itu dapat dikurangkan jika saya mengamalkan diet dan cara hidup yang seimbang," ujarnya lagi.


No comments:

Related Posts with Thumbnails