Monday, May 28, 2012

3 MANIA KE INDONESIA

Oleh AMIRUL HASWENDY ASHARI

Sejak bintang kelahiran Singapura, Aaron Aziz dipilih peminat selaku Artis Paling Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 (ABPBH2011) bulan lalu, tidak dinafikan ramai terus meluahkan rasa tidak puas hati dek 'penjajahan' artis luar.

Terbaru, apabila program Mania yang turut disertai produser muzik terkenal Indonesia, Ahmad Dhani membawa pulang RM300,000 apabila peserta bimbingannya, Hafiz dijulang juara pertama Mania, sekaligus menang RM500,000.

Alasan mereka, kehadiran Ahmad Dhani mencari bakat tempatan bakal menutup periuk nasi produser muzik tempatan pula. Sejauh mana dakwaan itu memberi impak kepada senario muzik tanah air, tepuk dada tanya selera.

Namun, di sebalik dakwaan itu, ada hikmah halus yang terselit buat anak seni tempatan. Hikmah dimaksudkan apabila pengasas kumpulan Dewa 19 itu memilih tiga penyanyi yang akan merakamkan album khas untuk pasaran Indonesia.

Selain Hafiz, dua lagi artis bertuah ialah Stacy dan Jaclyn Victor. Selain itu, Ahmad Dhani juga mempertimbangkan dua artis lain untuk turut dibawa ke sana. Dua artis yang diuar-uarkan bakal disunting Ahmad Dhani ialah Shila Amzah dan Alyah.

Malah, Ahmad Dhani ketika ditanya mengenai pentas akhir program itu pada Sabtu lalu, mengakui program Mania dilihat sebagai pentas hiburan di luar jangkaannya.

"Di Indonesia, belum ada lagi pertandingan muzik seperti ini. Daripada segi persembahan, saya belum pernah merasai dan menikmati suasana sebegini hebat. Mania sememangnya berada di tahap tersendiri.

"Mengenai perancangan membawa Mania ke Indonesia, memang ada, cuma masih belum tahu sama ada konsepnya sama atau tidak. Banyak perkara harus difikirkan dan diperincikan semula," katanya.

Ahmad Dhani berkata, pemilihan Hafiz, Stacy dan Jac dilakukan sebelum keputusan kemenangan berpihak kepada mereka malam itu. Persembahan ketiga-tiga artis kelahiran program realiti itu menunjukkan kepelbagaian dan peningkatan pada setiap minggu.

"Walaupun peluang ini tersedia untuk mereka, saya tidak jamin ia akan meletup kerana ia tetap terpulang kepada usaha mereka juga. Lagu untuk Stacy sudah siap, hanya Hafiz dan Jac belum.

"Ia akan siap dalam masa terdekat. Mengenai konsep lagu untuk Hafiz dan Jac, ia masih belum ditentukan lagi," kata Ahmad Dhani tatkala ditanya mengenai status single itu.

Walaupun kecewa dengan keputusan Hafiz menukar lagu final pada saat akhir, Ahmad Dhani tetap yakin pada bakat dan kemampuan penyanyi kelahiran Sarawak itu.

Hafiz sepatutnya menyanyikan lagu Bohemian Rhapsody nyanyian asal kumpulan lagenda rock Britain, Queen berduet dengan Faizal Tahir sebelum menukar pada saat akhir kepada lagu Beribu Sesalan berduet bersama Sarah Raisuddin.

Pun begitum tanpa berselindung dia tetap memuji vokal Hafiz menyampaikan lagu solo I Believe I Can Fly, malah tidak menyangka ada penyanyi dari Asia mampu menyanyikan lagu dipopularkan R Kelly itu dengan baik.

Hafiz berjaya mengatasi jumlah undian SMS tertinggi yang sebelum itu dipegang Jaclyn pada awal persembahan sebanyak 29 peratus. Tempat kedua milih Stacy dan ketiga Jac. Hazama dan Aril masing-masing menduduki tempat keempat dan kelima.

Sementara itu, Jac nampak kecewa dengan kekalahannya, namun tetap selesa dengan kedudukan tempat ketiga dan optimis melihat Mania sebagai pentas terbaik dalam kerjaya seni bergelar penyanyi.

Jika dilihat barisan artis bertanding, kekecewaan Jac ada benarnya kerana kebanyakan finalis lahir daripada program realiti hiburan yang dinobatkan melalui undian SMS.

Malah, mereka juga masih 'panas' dan 'segar' pada mata peminat tempatan berbanding dirinya yang sudah lama di dalam industri.

"Saya sedar belum cukup popular berbanding finalis Mania lain dan itu sebabnya saya tidak mendapat undian tinggi. Saya hanya penyanyi yang dikenali tapi kurang popular.

"Dalam pertandingan yang hanya mengharapkan undian SMS sepenuhnya, saya pasti ia sukar dijangkakan. Lebih-lebih lagi penyanyi seperti saya.

'Saya tidak sepopular penyanyi yang lebih baru daripada saya seperti Hafiz dan Stacy." kata Jac mengaitkan diri mengenai populariti.

Walaupun enggan mengakui berasa kecewa dengan kaedah pemarkahan melalui penjurian SMS, Jac akur pilihan sebenar terletak di tangan peminat. Lagipun, semua finalis memberi persembahan terbaik untuk merebut peluang diberi.

Jac akui persembahannya malam itu kurang bertenaga dan beranggapan pilihan lagu Kenangan Terindah kurang sesuai. Apatah lagi dia turut berdepan masalah teknikal pada awal persembahan.

Jac juga mendedahkan, dalam tempoh seminggu sebelum persembahan malam final, dia diserang sakit teruk dan muntah-muntah. Ia dikatakan berpunca daripada tekanan dan masalah 'anxiety' berlebihan apabila pertandingan semakin sengit.

Walaupun kalah di tangan artis baru, Jac tidak pulang dengan tangan kosong, sebaliknya tetap berpegang pada niat awal menyertai Mania, yakni menyerap ilmu dan pengalaman bekerjasama dengan produser muzik hebat.

"Saya kena berfikiran positif dan sentiasa tidak puas hati dengan apa saja yang saya lakukan. Sebab itu sya akan sentiasa ada rasa kecewa supaya saya sentiasa boleh perbaiki diri dari semasa ke semasa.

"Saya reda dengan apa yang berlaku dan ia membuatkan diri saya lebih kuat untuk berdepan hari mendatang. Apapun, saya anggap ini pengalaman manis buat saya.

"Dalam Mania, bakat saya akhirnya diperakui dan berbesar hati mendapat peluang bekerjasama dengan Ahmad Dhani untuk single terbaru. Banyak perkara saya belajar ketika menyertai program ini.

"Sebab itu saya bersetuju pada peringkat awal," katanya yang kini berada di Jakarta untuk menjayakan pertandingan Indonesian Idol kali kedua.

Source : www.hmetro.com.my

No comments:

Related Posts with Thumbnails