Tuesday, May 22, 2012

AHMAD DHANI TERKILAN DENGAN HAFIZ?



Penyanyi terkenal Indonesia, Ahmad Dhani yang juga merupakan produser muzik di bawah empayar Hijau bagi program Mania mengakui terkilan dengan juara program tersebut, Hafiz yang kononnya tidak mengikut kehendak beliau untuk menyanyikan sebuah lagu Inggeris pada konsert akhir Mania. Perkara ini diluahkan sendiri oleh beliau ketika ditemui sejurus selesai konsert akhir Mania, di Dewan Sri Putra Bukit Jalil malam Sabtu.

"Sepatutnya Hafiz akan menyanyikan lagu 'Bohemian Rhapsody' nyanyian Queen di mana dia akan duet bersama Faizal Tahir, tapi dia tidak jadi menyanyikan  lagu tersebut. Kami sudah berlatih lagu ini sejak Selasa lalu, namun saya hanya mengetahui dia tidak akan menyanyikan lagu tersebut beberapa jam sebelum konsert akhir berlangsung.

"Berdegup jantung saya dapat tahu perkara itu kerana bagi saya, jika jadi dia menyanyi, akan lagi 'best' persembahannya. Tidak dinafikan saya agak kecewa juga dan bagi saya dia kurang yakin untuk menyanyikan lagu tersebut. Sejujurnya saya tidak menjangkakan dia akan menang melainkan dia menyanyi lagu tersebut," ujar Ahmad Dhani dalam pada masa yang sama tidak menafikan Hafiz seorang yang berbakat besar.

"Cabaran saya dalam program ini tidak terlalu besar kerana Hafiz seorang yang berbakat. Memang benar apa yang saya cakap selepas dia selesai menyanyi lagu 'I Believe I Can Fly', di mana saya tak menyangka penyanyi Asia boleh menyanyi sehebat ini. Bagi saya, dia mempunyai suara yang bagus.

"Malah, saya juga dalam proses merakamkan lagu untuk Hafiz bagi pasaran Indonesia. 

Konsepnya saya belum fikirkan lagi tapi saya sudah punya bayangan. Yang pasti, saya akan memaksimakan bakat dia dan tidak akan mengubah ciri-ciri yang ada pada dia. Selain Hafiz, saya juga akan cipta lagu untuk Stacy serta Jac dan berkemungkinan juga untuk Alyah dan juga Shila Amzah.

"Mengenai sejauh mana pendengar Indonesia dapat menerima mereka, saya tak pernah jamin, tapi saya hanya akan berusaha yang terbaik untuk membawa mereka ke pasaran Indonesia," ujar Ahmad Dhani sambil mengharapkan program Mania diteruskan lagi.

"Mania merupakan satu pertandingan muzik yang sangat bagus. Di Indonesia, program sebegini tidak ada lagi dan saya harap program ini harus diteruskan tidak kita sama ada bersama saya ataupun tanpa saya. Bagi saya, banyak lagi penyanyi Malaysia yang bagus," ujar Ahmad Dhani yang turut menerima RM300,000 dalam pertandingan tersebut.

Source : www.gua.com.my

No comments:

Related Posts with Thumbnails