Tuesday, May 22, 2012

AHMAD DHANI KECEWA DENGAN HAFIZ


KUALA LUMPUR, 21 MEI 2012 : Meskipun gelaran Juara Superstar Mania sudah pun dinobatkan kepada Juara Akademi Fantasia 7 (AF7), Hafiz atau Hafiz Suip, namun produser yang bertanggungjawab membimbingnya, Ahmad Dhani akui tetap kecewa.

Ahli kumpulan Dewa, Ahmad Dhani berkata dirinya tetap kecewa dengan Hafiz kerana telah menolak permintaannya yang sepatutnya mahukan penyanyi lagu Awan Nano itu menyanyikan lagu Bohemian Rhapsody pada malam akhir Mania, Sabtu lalu.

"Sebenarnya saya mahukan Hafiz menyampaikan lagu Bohemian Rhapsody dalam persembahannya tetapi dia degil dan menggantikan lagu tersebut dengan lagu Beribu Sesalan berduet dengan Siti Sarah di saat akhir.

"Kami sudah berlatih sejak Selasa lalu dan saya sudah mencadangkan agar dia duet lagu tersebut dengan Faizal Tahir tetapi saya hanya mengetahui di saat-saat akhir dia membatalkannya.

"Meskipun dia sudah bergelar juara tetapi saya tetap kecewa kerana saya sudah dapat gambarkan dia dapat membuat persembahan jauh lebih hebat daripada yang sudah dia lakukan di pentas akhir ini," katanya yang ditemui selepas selesai konsert akhir Mania.

Selain Beribu Sesalan, Hafiz turut mendendangkan sebuah lagu Inggeris berjudul "I Believe I Can Fly" di pentas akhir Mania yang seterusnya melayakkannya merangkul wang tunai RM500,000 beserta trofi Mania.

Sungguh pun begitu, Ahmad Dhani tetap memuji bakat yang ada pada Hafiz yang sukar dilihat sebagai penyanyi Asia.

"Terus-terang, selepas melihat persembahan Hafiz menyanyikan lagy "I Believe I Can Fly", saya tak menyangka wujudnya penyanyi Asia sepertinya yang boleh menyanyikan sehebat penyanyi antarabangsa. 

"Bagi saya, dia mempunyai suara yang bagus. Oleh itu, saya akan memaksimakan bakat dia dan tidak akan mengubah ciri-ciri yang ada pada dia untuk single terbarunya nanti," jelasnya.

Ahmad Dhani telah menerima wang tunai RM300,000 di atas kemenangan Hafiz pada malam tersebut.

Sementara itu, Hafiz memberitahu dia sengaja menolak permintaan pembimbingnya demi seimbangkan persembahannya dalam pentas akhir Mania.

"Semasa dia meminta saya menyanyikan lagu Inggeris tersebut, saya sudah ada sebuah lagu "I Believe I Can Fly". Saya yakin boleh memberikan yang terbaik semasa persembahan.

"Jadi jika saya sudah ada sebuah lagu Inggeris, sudah tentu saya mahukan sebuah persembahan lagu Melayu untuk seimbangkan persembahan saya.

Hafiz bakal berkolaborasi dengan Ahmad Dhani untuk single terbaharunya di Indonesia tidak lama lagi.

Source : www.murai.com.my






No comments:

Related Posts with Thumbnails