Thursday, February 2, 2012

AJL26 Milik Awan Nano


Teks Oleh: zyzamani
Foto Oleh: Mazlan Yunos Photography


KUALA LUMPUR, 29 JAN 2012: Lagu Awan Nano ciptaan Datuk M.Nasir dan Budi Hekayat menerusi nyanyian Hafiz dipilih sebagai juara di Anugerah Juara Lagu Ke-26 (AJL 26) yang diadakan di Stadium Putra Bukit Jalil, sebentar tadi.

Dengan kemenangan tersebut, mereka membawa pulang wang tunai RM 35, 000 dan trofi.

Hafiz juga turut mempertahankan kemenangan yang dimenanginya tahun lalu menerusi kategori Vokal Terbaik apabila berjaya memenanginya sekali lagi tahun ini. Menerusi kemenangan tersebut, juara Akademi Fantasia musim ketujuh itu, membawa pulang wang tunai RM 10,000 dan trofi.

Trio gandingan penyanyi wanita mantap Ning Baizura, Jaclyn Victor dan Shila Amzah menerusi lagu Beribu Sesalan pula menyandang gelaran naib juara AJL 26. Kemenangan lagu ciptaan Kevin Chin dan Tinta itu, menyaksikan mereka membawa pulang wang tunai RM 15,000 dan trofi.

Manakala lagu Karma nyanyian dan ciptaan Faizal Tahir dan Audi Mok merangkul tempat ketiga dan memenangi wang tunai RM 12,000 dan trofi.

Alyah pula diiktiraf sebagai persembahan terbaik menerusi lagu Kisah Hati dengan kemenangan itu, penyanyi tersebut membawa pulang RM 10,000 dan trofi.

Seramai 10 orang juri telah menilai persembahan malam tadi antaranya Datuk Siti Nurhaliza, Hattan, Afdlin Shauki serta Azmeer selaku ketua juri AJL 26.

AJL 26 menyaksikan persembahan pembukaan daripada Awie, Jamal Abdillah dan Datuk Shiela Majid menerusi lagu Bujang Senang, Senandung Semalam dan Warna.

Azlan & Typewriter, Hazama dan Black pula muncul menerusi segmen interlude tribute kepada Allahyarham Datuk Sudirman Arshad menerusi lagu Hidup Sederhana (Basikal tua), Balik Kampung dan Salam Terakhir.


No comments:

Related Posts with Thumbnails