Friday, February 10, 2012

Inspirasi : Hafiz Terus Menuju Puncak, ‘Ku Akui’ Single Terbaru



Mendekati jejaka berusia 22 tahun kelahiran Bumi Kenyalang ini memang sesuatu yang menyenangkan. Kejayaan demi kejayaan yang dilakar dalam kembara seni Mohd Hafiz Mohd Suip atau lebih dikenali dengan Hafiz ini tidak merubah sisi naif dan merendah dirinya. Ditemui dalam majlis kesyukuran sempena kejayaan menjulang AJL 26 baru-baru ini, Hafiz sentiasa melafazkan syukur dan penghargaannya terhadap semua pihak yang telah menyokong dan membawa kepada ke puncak kerjaya seninya terutama keluarga, pihak pengurusan, media dan sudah tentu peminat setianya.
Memulakan karier setelah menjuarai realiti TV Akademi Fantasia Musim ke-7, Hafiz yang popular dengan single pertamanya, Masih Jelas antara artis kelahiran realiti TV yang terus menyerlah. Anak muda yang terkenal dengan imej rambut ‘afro’ ini amat bertuah kerana berpeluang menjalin kerjasama dengan barisan komposer ternama seperti Ajai, Aidit Alfian dan Datuk M.Nasir lewat lagu yang didendangkannya. Sentuhan lagu daripada komposer tersohor tersebut telah membuka laluan Hafiz secara hatrik ke pentas akhir Anugerah Juara Lagu. Bermula dengan lagu Masih Jelas (2009) hasil ciptaan Aidit Alfian/Ad Samad, seterusnya lagu Noktah Cinta (2010) ciptaan Ajai/Sheikh Qalam telah meraih tempat ketiga dan Hafiz turut memenangi Anugerah Vokal Terbaik.
Kemaraan Hafiz sebagai artis baru yang mempunyai  magisnya tersendiri tercipta tatkala lagu Awan Nano ciptaan Datuk M.Nasir/Budi Hekayat telah dijulang sebagai juara dalam AJL 26 baru-baru ini.  Lebih manis lagi, Hafiz turut memenangi Anugerah Vokal Terbaik bagi dua tahun berturut-turut. Sebagai rekod, Awan Nano juga telah memenangi Lagu Terbaik dan Lagu Terbaik Malaysia dalam Anugerah Planet Muzik  di Singapura pada tahun 2011.

Perjalanan seni Hafiz turut diwarnai dengan koloborasi bersama melantunkan lagu popular soundtrack filem Ombak Rindu (duet dengan Adira) dan yang terbaru lagu soundtrack filem Azura, Sandarkan Pada Kenangan duet bersama Mimi Sham yang pernah dipopularkan oleh Jamal Abdillah dan Fauziah Ahmad Daud.

Diajukan tentang perancangannya selepas ini, Hafiz optimis untuk melebarkan sayap ke negara seberang, Indonesia berbekalkan lagu Awam Nano yang telah diiktiraf sebagai lagu terbaik serantau. Hafiz melontarkan harapan agar karya indah yang dipertaruhkannya itu mampu menawan peminat seni di sana.

Dalam perkembangan lain, Hafiz  turut tercalon sebagai finalis bagi Kategori Penyanyi Lelaki Popular yang akan berentap hebat dengan nama besar seperti Aizat, Anuar Zain, Black dan Faizal Tahir dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 pada April nanti.

Mampukah Hafiz meneruskaan kejayaan yang telah dirintis sebelum ini? Perjalanan seni anak muda ini masih panjang, mungkin single terbaru, Ku Akui ciptaan Ajai akan meneruskan rentak momentum kecemerlangan Hafiz di persada seni.




Photo credit : buahmulut.com


KU AKUI

No comments:

Related Posts with Thumbnails