Thursday, February 2, 2012

Awan Nano Punyai Pakej Juara



Teks Oleh: zyzamani
Email: zyzamani22@gmail.com
Foto Oleh: Mazlan Yunos Photography

KUALA LUMPUR, 30 JANUARI 2012: Anugerah Juara Lagu Ke-26 (AJL26) yang diadakan semalam, sememangnya menyaksikan saingan sengit dalam menentukan juaranya. Antara lagu-lagu yang dikatakan mampu menjulang kemenangan ialah Sungai Lui, Beribu Sesalan, Kisah Hati dan Sedetik Lebih.
Nyata pihak juri telah sebulat suara memilih Awan Nano nyanyian Hafiz ciptaan Datuk M.Nasir dan Budi Hekayat sebagai juara AJL26 dan layak menewaskan lagu-lagu lain.

Ketua Pengawai Operasi Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Izham Omar berkata, pemilihan Awan Nano sememangnya bertepatan sekali kerana keindahan lagu dan lirik yang dicipta memberi kesan di hati setiap pendengar.

"Lagu itu memang bagus, kerana tujuh nota pertama lagu tersebut apabila kita dengar sudah menangkap dan memberi kesan kepada pendengar.

"Lagunya bukan sahaja seimbang, mempunyai melodi dan lirik yang indah tetapi ia juga luar biasa," katanya ketika ditemui pada sidang media yang diadakan sejurus selepas anugerah tersebut.

Pendapat tersebut turut disokong oleh Ketua Juri AJl26, iaitu Azmeer.

Jelas Azmeer, lagu tersebut mempunyai pakej yang lengkap iaitu selain lirik dan melodi yang indah ia turut dihiasi dengan susun muzik yang cantik.

"Awan Nano mempunyai lirik yang puitis, melodi yang indah dan paling penting susunan muziknya juga sempurna.

"Itu yang membuatkan lagu itu layak untuk menjadi juara AJL26.

"Lagu tersebut juga seimbang daripada segi lirik, lagu dan susunan muziknya. Itulah antara kriteria yang harus ada dalam menilai pemenang dan Awan Nano memiliki apa yang dikehendaki oleh pihak juri,"katanya lagi.

AJL26 kali ini telah diadili seramai 30 orang juri yang mana dua set pemarkahan telah diadakan. Seramai 20 orang juri telah mengadili 80 peratus persembahan sebelum majlis anugerah dan selebihnya iaitu 10 orang juri mengadili 20 peratus persembahan di malam anugerah berkenaan.

Selain Awan Nano, lagu Beribu Sesalan nyanyian Ning Baizura, Shila Amzah dan Jaclyn Victor tampil selaku naib juara dan Karma nyanyian Faizal Tahir di tempat ketiga.


No comments:

Related Posts with Thumbnails