Thursday, February 9, 2012

Hafiz Ditawar Berlakon Filem


9 Feb 2012  |   Nani

Selepas menjulang trofi kemenangan di Anugerah Juara Lagu ke-26 baru-baru ini, penyanyi popular  Hafiz atau nama sebenarnya Mohd Hafiz Mohd Suip khabarnya telah ditawarkan untuk berlakon filem oleh pihak Astro.

Perkara ini dikongsikan sendiri oleh Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro dalam ucapannya ketika di majlis kesyukuran yang diadakan sempena kejayaan Awan Nano di AJL26. Apabila ditanya kepada tuan empunya badan mengenai hal ini, Hafiz yang tersenyum mengakui ditawar oleh pihak terbabit.

“Perkara ini masih lagi dalam perancangan. Bukannya tak nak mencuba, tapi saya sebenarnya tak pandai berlakon. Tapi jika ada tawaran filem, memang saya nak mencuba. Namun, setakat ini memang belum ada lagi tawaran,” ujar Hafiz ketika ditemui GUA di Hotel Hilton, KL Sentral, malam tadi.

Hafiz yang sebelum ini pernah muncul dalam telefilem ‘Langkah Bendul’ dan siri ‘Kau & Aku’ menyifatkan bidang lakonan memerlukan penghayatan yang mendalam bagi memberikan impak lakonan yang berkesan.

“Bagi saya, membintangi filem ini satu benda yang besar. Apa yang saya boleh cakapkan, berlakon memang sesuatu yang menarik dan seronok bila kita dapat cuba. Namun, jiwa saya masih ke arah nyanyian. Jadi bagi saya, berlakon ini nanti sajalah”.

Pernah membintangi Muzikal KITA di Istana Budaya, Hafiz juga turut berhasrat untuk membawakan watak budak nakal andai diberi tawaran berlakon satu hari nanti.

Source : www.gua.com.my

No comments:

Related Posts with Thumbnails