Tuesday, February 14, 2012

HAFIZ ANJUR MAJLIS KESYUKURAN



NAMA dan mutu vokalnya terus membuktikan bakat juara Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) ini dalam menyerlahkan legasi seninya. Bayangkan hanya dengan tiga lagu yang dimuatkan dalam album sulungnya, ia mampu meletakkan Hafiz Suip, 22, sebaris penyanyi popular sedia ada.

Album pertamanya dilancarkan Julai 2009 - sebulan selepas penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak itu bergelar juara dan memuatkan lima lagu yang masih popular hingga kini. Tiga daripada lima lagu itu ialah Masih Jelas, Noktah Cinta dan Awan Nano berjaya menempa kejayaan tersendiri pada Anugerah Juara Lagu (AJL) di TV3.

Lagu Masih Jelas biarpun hanya layak di peringkat akhir AJL 24 tetapi tidak memenangi apa kategori, ia sudah menjadi pembakar semangat buat jejaka yang terkenal dengan imej rambut kerinting ini. AJL 25 pula lagu Noktah Cinta dinobatkan menerusi kategori Vokal Terbaik.

Seterusnya pada AJL 26 yang baru berlangsung Januari lalu, lagu Awan Nano ciptaan Datuk M Nasir dan lirik oleh Budi Hekayat dinobatkan sebagai Juara Lagu dan Hafiz sekali lagi menang kategori Vokal Terbaik. Meraikan kejayaan itu, satu majlis kesyukuran diadakan pada 8 Februari lalu.

"Kejayaan ini takkan datang tanpa sokongan pihak yang selalu berada setia di belakang saya termasuk pengurusan Astro, keluarga, teman seperjuangan, komposer, rakan media dan peminat. Maka dengan itu, majlis kesyukuran ini diadakan untuk sama-sama berkongsi berkat.

"Paling bermakna, ibu bapa saya turut bersama, selain peminat saya yang sudi meluangkan masa. Kejayaan diterima ini bukan alasan untuk saya mendabik dada. Sebaliknya, ia menjadi penanda aras untuk saya terus berusaha keras demi yang terbaik lagi pada masa mendatang," kata finalis Penyanyi Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011 itu.

Turut hadir memeriahkan acara yang diadakan di hotel terkemuka di ibu kota itu ialah Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh; M Nasir; Hekayat; penyanyi, Herman Tino dan beberapa rakan artis seangkatan.

Lagu Awan Nano turut mencipta kejayaan berganda apabila memenangi kategori Lagu Terbaik (Malaysia dan Serantau) pada Anugerah Planet Muzik 2011, manakala Hafiz dicalonkan dalam kategori Artis Lelaki Terbaik Serantau pada anugerah sama.


 

No comments:

Related Posts with Thumbnails